Ads Top

Bolehkah Memulangkan Harta Yang Dicuri Secara Senyap-Senyap

Dalam entri sebelum ini, kami ada mengupas mengenai dosa mencuri dan tiga cara yang boleh dilakukan untuk bertaubat.

Seperti apa yang telah dikupas, kita memahami bahawa hukum mencuri adalah dikira sebagai dosa besar dan wajib ke atas pencuri untuk meminta maaf secara langsung dengan orang yang pernah dizalimi.

Sama ada orang tersebut meminta kembali atau tidak menyebutkan tentang wang atau barang yang pernah dicuri, perlu ke atas anda untuk memulangkan semula apa yang pernah diambil.

Namun, jika orang tersebut cukup sekadar memberi kemaafan dan menghalalkannya, maka, itu sudah memadai.

Tetapi, bagaimana pula dengan situasi orang yang kurang berani atau lebih memilih untuk menjaga hubungan baik dengannya; adakah wujud cara lain untuk memulangkan barang tersebut?

Sebagai contoh memulangkan semula wang tersebut dengan meletakkannya secara senyap-senyap di dalam dompetnya tanpa pengetahuan.

Dalam hal ini, melihat kepada penjelasan yang telah diberikan oleh Mufti Wilayah, ia adalah dibolehkan.

Hal ini melihat kepada perbuatan memulangkan semula harta yang telah diambil itu kepada pemilik asalnya dan ia boleh dilakukan dengan apa jua cara sekali pun.

Dalam masa yang sama, seseorang itu perlu bertaubat dengan bersungguh-sungguh dan berazam untuk tidak melakukannya lagi.

Dalam hal ini, ulama mengatakan bahawa ia adalah memperlihatkan kepada banyak cara yang boleh dilakukan untuk bertaubat dan salah satunya adalah dengan melakukannya secara tidak langsung.

Ia juga adalah untuk membantu menjaga hubungan baik sesama manusia kerana bimbang jika orang tersebut mengetahui perbuatan buruk itu, hubungan silaturrahim akan putus. Ia juga perkara yang perlu dielakkan.

Dalam hal ini, kita juga melihat kepada perbuatan mengelakkan lebih banyak mudarat daripada terjadi.

Justeru, dapat kita faham di sini bahawa boleh sahaja memulangkan barang dalam keadaan sembunyi tanpa pengetahuan tuannya jika sudah tiada pilihan lain yang boleh dilakukan lagi atau untuk menjaga sesuatu yang lebih besar seperti hubungan silaturrahim.

Namun, jika anda mempunyai keberanian untuk bersemuka, itu adalah lebih baik.

Jika anda mempunyai keberanian untuk mencuri, pastinya anda juga boleh mengumpul kembali keberanian untuk jujur dan berterus-terang dengannya.

Wallahu a’alam.

Rujukan:
Mufti Wilayah persekutuan

The post Bolehkah Memulangkan Harta Yang Dicuri Secara Senyap-Senyap first appeared on Tazkirah.




No comments:

Powered by Blogger.