Ads Top

Istighfar – Salah Satu Sebab Diturunkan Hujan

Hujan adalah salah satu bentuk rezeki yang Allah turunkan kepada makhlukNya. Mengapa ia dinamakan sebagai rezeki, kerana salah satu sebabnya adalah ia dapat menyuburkan tanaman dan memberi rezeki yang lain.

Walaupun kadang-kadang kita akan mengeluh apabila turunnya hujan kerana jemuran yang tidak sempat kering, nelayan yang tidak boleh turun ke laut untuk menangkap ikan kerana bimbang air laut yang pasang atau Grab rider yang tidak dapat menghantar makanan dengan laju kerana hujan.

Namun, itu adalah salah satu bentuk ujian yang perlu diterima dengan hati yang reda. Kerana kadang-kadang, boleh jadi sesuatu perkara yang terjadi itu, hikmahnya kita tidak nampak namun orang lain yang memerlukannya boleh merasainya.

Dalam sebuah firman Allah disebutkan mengenai hubungan hujan dan istighfar;

Mafhum: “Sehingga aku berkata (kepada mereka): “Pohonkanlah ampun kepada tuhan kamu, sesungguhnya Ia adalah Maha pengampun.” (Sekiranya kamu berbuat demikian), Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah kepada kamu.” (Surah Nuh, 71:10-11)

Apa yang dimaksudkan dengan hujan itu datang dari asbabnya istighfar? Imam Ibnu Katsir RA berkata – “Ia adalah salah satu bentuk keberkatan yang Allah tunjukkan kepada hambaNya. Dengan keberkatan ini, Allah akan memberikan rezeki yang melimpah-ruah.

Kalau kita lihat pun, di dalam solat sunat istisqa (meminta hujan), mereka yang bersolat boleh membacakan doa di atas (Surah Nuh) agar Allah memakbulkan doa yang kita minta untuk diturunkan hujan.

Sebenarnya, dengan beristighfar, kita sedang memohon keampunan dari Allah SWT agar Allah membersihkan diri kita terlebih dahulu sebelum memberikan rezeki.

Rezeki itu boleh datang dalam pelbagai bentuk dan salah satunya adalah dengan hujan.

Jadi, apabila kita melazimi istighfar dan diturunkan pula hujan selepasnya, percayalah Allah mungkin sedang memberikan anda sesuatu yang lebih baik.

Wallahu a’alam

Rujukan:
Ustaz Fathul Bari

The post Istighfar - Salah Satu Sebab Diturunkan Hujan first appeared on Tazkirah.




No comments:

Powered by Blogger.