Ads Top

Status Hadis – Mengusap Kepala Anak Yatim Pada Muharram Diangkat Darjatnya

Apabila berbicara mengenai anak yatim, pasti kita menyedari bahawa anjuran untuk berbuat baik kepadanya sangatlah banyak.

Kita boleh menyantuni mereka dengan pelbagai perkara yang boleh memberi kebaikan dan kegembiraan buat mereka.

Namun, dalam berbuat baik biarlah ia sesuai dengan kemampuan diri sendiri. Ada orang yang mendahulukan anak-anak ini, namun anak sendiri di rumah dibiarkan berlapar.

Itu bukanlah seperti apa yang diajarkan Islam. Berbuat baik itu banyak cara dan pembahagiannya. Walaupun ia kecil di mata manusia, namun jika dilakukan dengan ikhlas, maka ganjarannya adalah besar di sisi Allah.

Hatta, dengan mengusap kepala mereka juga boleh memberikan ganjaran buat anda. Walaupun ia sekadar usapan, namun ia adalah sunnah. Sebagaimana beberapa dalil yang telah dinyatakan, antaranya;

عن سلمة بن وردان قال : رأيت أنس بن مالك يصافح الناس ، فسألني : من أنت ؟ فقلت : مولى لبني ليث ، فمسح على رأسي ثلاثا وقال : بارك الله فيك

Maksud: “Dari Salamah bin Wardan, ia berkata: “Saya melihat Anad bin Malik menjabat tangan orang-orang, lalu dia bertanya kepadaku: “Siapa engkau?” Saya menjawab: “Bekas budak Bani Laits.” Dia lalu mengusap kepalaku tiga kali dan berkata: “Semoga Allah memberikan berkat kepadamu.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 743)

Usapan di sini boleh memberi pengaruh positif bukan sahaja kepada anak yatim itu, namun juga buat orang yang mengusap.

Mengusap kepala anak yatim boleh memberi pengaruh yang baik buatnya. Ia seolah-olah tenaga kasih sayang telah disalurkan buatnya dan mampu menghilangkan gelisahnya.

Manakala, buat si pengusap pula, ia dikatakan boleh menghilangkan penyakit hati sekali gus melembutkan hati.

Hadis Palsu Usapan Pada Hari Asyura

Walau bagaimanapun, ada sebuah hadis yang menyebut bahawa anjuran untuk memperbanyakkan usapan kepala anak yatim pada bulan Muharram kerana padanya kelebihan bulan yang mulia.

Bahkan, disebut bahawa orang yang mengusap pada 10 Muharam akan diangkat darjatnya di syurga.

Maksud: “Dan siapa yang mengusap kepala anak yatim pada hari ‘Asyura, maka dengan setiap rambutnya diangkat baginya satu darjat di syurga.”

Namun, menurut perbincangan ulama, hadis ini dinilai palsu kerana tidak memiliki sumber yang sahih dan perawi yang thiqah (teguh).

Menurut kajian yang lain melalui Al-Maudhu’at menyebut bahawa jalur riwayatnya adalah daripada Habib bin Abi Habib yang merupakan perawi yang tidak thiqah.

Imam Suyuthi, Ibnu ‘Iraq dan Al-Hafiz Ibn Hajar juga menyebut bahawa hadis ini adalah palsu kerana perawinya. Imam Abu Hatim pula berkata bahawa ia adalah tidak sahih kerana tiada sumber yang benar.

Kesimpulan

Anjuran untuk mengusap kepala anak yatim itu adalah kerana sunnah dan hikmah kelebihan yang boleh diperoleh untuk kedua-dua pihak.

Namun, dalil yang menyebut darjat akan diangkat buat mereka yang mengusap kepala anak yatim pada hari Asyura dan bulan Muharram adalah palsu.

Maka, dilarang untuk menyebarkannya melainkan untuk memberitahu kepalsuannya.

Rujukan:
Kajian Mengusap Kepala Anak Yatim




No comments:

Powered by Blogger.