Ads Top

Status Hadis – Ganjaran Memotong Kuku Pada Hari Tertentu

Salah satu anggota badan yang perlu dijaga kebersihannya ialah kuku. Jika kuku itu panjang atau kotor, pasti ia akan menyukarkan air wuduk untuk lalu di celah-celah kuku itu. Bimbang jika nanti wuduknya tidak sah dan boleh mengakibatkan solat juga tidak diterima.

Bukan itu sahaja, kuku yang kotor juga boleh memberi kesan kepada apa yang dimakan. Bayangkan tangan yang digunakan untuk makan itu kotor, pasti kuman-kuman yang melekat di celah-celahnya akan turut masuk ke dalam perut anda.

Perkara inilah yang boleh mengakibatkan pelbagai penyakit dari perut berpunca dari kelalaian kita dalam menjaga kebersihan.

Sebab itu kita digalakkan untuk memotong kuku bagi menjaga kebersihan. Afdal dipotong kuku pada hari Jumaat, namun itu bukanlah bermaksud amalan ini tertumpu pada hari Jumaat sahaja.

Dalam hal ini, tidak perlu tunggu pada hari Jumaat untuk memotong kuku. Jika ia sudah panjang, boleh terus dipotong.

Ia menjadi afdal dan hari yang baik kerana dilihat pada umat terdahulu serta para ulama yang akan mengambil fadilat hari Jumaat untuk melakukannya.

Contohnya, Ibnu Umar yang biasanya akan memotong kuku dan misainya pada hari Jumaat. Imam Nawawi juga berkata bahawa dalam Mazhab Syafi’e, adalah dianjurkan untuk melakukannya pada hari Jumaat.

Anjuran memotong kuku ini juga dilihat pada kebanyakan dalil menjaga kebersihan. Sehinggakan ada beberapa hadis yang menyebut akan kelebihan memotong kuku pada hari-hari tertentu, iaitu;

Maksud: “Sesiapa yang memotong kukunya pada hari Sabtu, maka akan keluar daripadanya penyakit dan masuk ke dalamnya penawar. Sesiapa yang memotong kukunya pada hari Ahad, maka akan keluar daripadanya kemiskinan dan masuk ke dalamnya kekayaan. Sesiapa yang memotong kukunya pada hari Isnin, maka akan keluar daripadanya kecacatan dan masuk ke dalamnya kesihatan. Sesiapa yang memotong kukunya pada hari Selasa, maka akan keluar daripadanya penyakit sopak dan akan masuk ke dalamnya kesembuhan. Sesiapa yang memotong kukunya pada hari Rabu akan keluar daripadanya penyakit was was dan ketakutan dan masuk ke dalamnya keamanan dan kesihatan. Sesiapa yang memotong kukunya pada hari Khamis, akan keluar daripadanya penyakit kusta dan akan masuk ke dalamnya kesembuhan. Sesiapa yang memotong kukunya pada hari Jumaat, maka akan masuk ke dalamnya rahmat dan keluar daripadanya dosa-dosa.”

Walau bagaimanapun, jumhur berpandangan bahawa hadis ini adalah palsu kerana ganjarannya yang berlebih-lebih dan juga melihat kepada jalurnya yang tidak thiqah (tidak teguh).

Hal ini dilihat daripada Imam Ibn Jauzi, Imam al-Sayukani dan al-Albani. Jumhur ulama lain juga bersetuju akan kepalsuannya.

Justeru, dapat difahami di sini bahawa ia adalah palsu dan tidak boleh digunakan untuk menyebarkannya melainkan untuk menyatakan ketidaksahihannya.

Wallahu a’alam.

Rujukan:
Mufti Wilayah




No comments:

Powered by Blogger.