Periksa Niat – Hadirkan Ikhlas Dalam Beramal
Siri The Good Place yang telah ditayangkan di Netflix sebanyak 3 siri telah mengisahkan mengenai empat orang manusia yang telah meninggal dunia dan dimasukkan ke sebuah tempat yang diberi nama The Good Place.
Ada sebuah watak yang bernama Tahani Al-Jamil yang akan diulas melalui entri kali ini untuk kita memperlihatkan bahawa keikhlasan adalah kunci kepada setiap amalan dan perbuatan kita.
Sewaktu hayatnya, dia bukanlah seorang anak yang dikagumi oleh ibu bapanya. Mereka amat menyayangi kakaknya, iaitu Kamilah Al-Jamil dan sentiasa berbangga akan setiap perbuatan kakaknya melebihi dirinya.
Hal inilah yang menyebabkan Tahani membesar menjadi seorang wanita yang ingin mendapat perhatian kedua ibu bapanya. Setiap apa yang dilakukan adalah untuk mencari perhatian mereka.
Itu yang menyebabkan setiap kebaikan yang dilakukannya tidak dikira kerana niat asalnya adalah tidak ikhlas. Aktiviti kemasyarakatan atau sosial yang ditaburnya bukanlah kerana niatnya yang ikhlas tetapi untuk menandingi kakaknya dan meraih perhatian orang tuanya.
Keikhlasan Adalah Kunci Ke Syurga
Apabila dilihat melalui siri ini, kesilapan Tahani adalah kerana niatnya. Sebagaimana yang kita faham, setiap amalan dan perbuatan kita adalah bergantung kepada niat. Jika baik niatnya, maka baiklah amalnya dan akan diganjari dengan apa yang Allah telah janjikan.
Namun, jika niat itu adalah untuk kepentingan duniawi semata-mata atau untuk meraih pandangan orang lain dan segala kepentingan yang tidak elok, maka perkara seperti inilah yang ditegah Allah.
Niat inilah yang akan membezakan setiap perbuatan kita sama ada ia akan menjadi ibadah atau sekadar adat perbuatan sahaja.
Pernah dengar kisah orang yang tertinggal kunci? Ada seorang pemuda ini, dia dah sampai ke apartmentnya. Lif pula rosak dan dia duduk di tingkat sepuluh. Terpaksalah naik tangga. Tetapi, apabila dah sampai di depan pintu rumahnya, baru dia tersedar rupanya kunci rumahnya tertinggal di dalam kereta.
Bayangkan apa perasaan anda bila terjadi sebegini? Pasti penat, nak marah dengan diri sendiri dan macam-macam lagi perasaan yang bercampur-baur.
Mungkin kisah yang anda dengar, versinya berbeza-beza. Tetapi pengajaran yang kita dapat melalui kisah ini adalah sama, kunci rumah itu merupakan keikhlasan seseorang.
Kita sudah berpenat-penat melakukan amalan, buat kebaikan, memperbanyakkan solat tetapi apabila sampai di hadapan Allah suatu hari nanti, kita tidak diizinkan untuk memasuki syurgaNya. Kenapa?
Kerana kita lupa akan satu kunci, iaitu kunci keikhlasan. Nauzubillahi mindzalik.
Kesimpulan
Ikhlas itu adalah lawan kepada riak. Memang, kalau perkara itu bukan yang sering kita lakukan, pastinya sukar untuk ada keikhlasan. Tapi, cuba lakukannya dengan perlahan-lahan. Lama-lama mungkin niat itu akan berubah dan kita sendiri akan suka melakukannya.
Konsep ikhlas itu luas. Namun, satu perkara yang boleh kita faham adalah ikhlas itu apabila kita melakukan sesuatu kerana Allah.
Setiap perbuatan kita adalah kerana Allah. Kita belajar dan menuntut ilmu kerana Allah. Kita tidur dan makan pun kerana Allah. Kita solat dan beribadah juga adalah keranaNya.
Macam mana pula dengan mereka yang buat semua kebaikan sebab syurga atau nakkan pahala? Adakah itu sama dengan niat kerana Allah.
Perlu kita faham bahawa konsep pahala, dosa, syurga dan neraka itu adalah ganjaran yang Allah sediakan kepada hambaNya. Ia boleh menjadi motivasi kepada seseorang dalam melakukan sesuatu.
Bila kita lihat ada ganjaran, pasti hati kita akan lebih seronok untuk melakukannya, bukan? Sama juga dengan ancaman. Ia akan membuatkan hati kita tidak ingin mendekatinya.
Sebab itu, banyak diceritakan mengenai ganjaran yang berbentuk kebaikan atau keburukan sama ada dalam firmanNya atau juga melalui hadis nabi.
Mengapa ia wujud kalau bukan untuk membantu manusia supaya lebih seronok dengan setiap yang dilakukan?
Jadi, yang paling penting ialah setiap hari perbaharui niat anda agar setiap apa yang kita lakukan ini boleh menjadi salah satu saham untuk bakul pahala kita walau sekecil-kecil perkara.
Mafhum: “Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat.” (Surah Al-Bayyinah, 98:5)
Baca Juga:
The Good Place – Cari Motivasi Berbuat Baik
No comments: