Misha Omar Ubati Kerinduan Peminat Dengan Single Tanpa Rela
Memandangkan single terdahulu, Sampai Bila mencipta kejayaan serta pelbagai catatan manis, Misha Omar sering diasak persoalan daripada peminat yang bagaikan tidak sabar menanti kemunculan lagu terbarunya.
Misha menyatakan desakan peminat tidak sekali-kali memberinya tekanan, sebaliknya menyifatkan keterujaan peminat itu sebagai isyarat kehadirannya sentiasa dirindui.
Biarpun terpaksa menanti lama, penyanyi berkenaan percaya penantian peminat itu tidak sia-sia kerana sebagai penyanyi yang sudah 18 tahun mengatur langkah, dia begitu mementingkan ketelitian dalam pembikinan single terbaru.
Setelah hampir dua tahun membuai emosi peminat dengan Sampai Bila, kini anak kelahiran Kelantan itu berkongsi berita gembira apabila single terbarunya, Tanpa Rela bakal menemui pendengar pada pertengahan bulan depan.
Bercerita mengenai Tanpa Rela, Misha penuh teruja berkata, pembikinan single itu begitu memberinya kepuasan tersendiri, apatah lagi apabila berpeluang memberikan sentuhan untuk lagu berkenaan.
Penyanyi itu memberitahu bawaha semuanya bertitik tolak daripada sambutan luar biasa peminatnya ketika menjayakan konsert This Is Misha di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), setahun lalu sehinggakan ia menjadi pemangkin yang memberinya inspirasi untuk menghasilkan melodi Tanpa Rela.
“Selepas 18 tahun dalam industri muzik, saya terfikir mengapa tidak saya memulakan satu langkah ke hadapan dengan menghasilkan melodi. Biarpun proses penghasilan Tanpa Rela menuntut perjalanan yang panjang, saya bertuah kerana niat itu dipermudahkan apabila dipertemukan dengan pengarah muzik, Lee Sze Wan ketika menjayakan Konsert Soul Sisters di Istana Budaya, April tahun lalu.
“Dari situ, kami mula rapat hingga tercetus idea untuk menjalin kerjasama dalam penghasilan single terbaru ini. Saya bersyukur kerana Sze Wan banyak memberikan tunjuk ajar, malah sentiasa sabar melayani kerenah saya yang masih hijau dari sudut komposisi lagu,” katanya.
Mengakui kejayaan Sampai Bila turut mendorongnya untuk meletakkan standard lebih tinggi dalam penghasilan single terbaru, Misha berkata, perkara itu membuatkan dia begitu teliti sebelum melangkah ke studio rakaman pertengahan Julai lalu.
Apatah lagi, Tanpa Rela adalah single pertama ciptaannya, Misha begitu berharap, lagu itu memenuhi kehendak peminat yang sentiasa dahagakan sesuatu yang berbeza dalam penyampaiannya.
> Baca: “Kalau Ada Masalah Boleh Bincang, Tidak Perlu Diperbesarkan” – Nabila Razali
Untuk tujuan itu, Misha mempersiapkan diri dengan mengikuti kelas vokal secara lebih intensif bersama pensyarah vokal berkaliber, Datuk Syafinaz Selamat demi memastikan dia mampu memberikan penghayatan dan penyampaian terbaik untuk Tanpa Rela.
“Tanpa Rela memberikan banyak pengalaman manis untuk saya kenang. Tidak hanya menjadi lagu pertama yang saya hasilkan, saya juga teruja kerana buat kali pertama dapat bekerjasama dengan Datuk Syafinaz di studio rakaman sebagai penasihat dan pengarah vokal. Ia memberikan suasana yang berbeza buat saya. Sebelum ini, saya hanya melangkah ke studio rakaman untuk memasukkan vokal apabila semua proses awal sudah selesai.
“Tetapi untuk Tanpa Rela, saya terbabit dari awal. Bermula dengan mencari idea untuk menghasilkan melodi, seterusnya berbincang dengan Sze Wan dari segi susunan muzik, saya juga terbabit dalam penulisan lirik. Apabila semua proses awal selesai, saya mendapatkan khidmat Datuk Syafinaz untuk membantu dari sudut penghayatan dan penyampaian lagu. Ia bukan perjalanan yang mudah, malah kami banyak berbincang bagi menceritakan emosi yang diluahkan menerusi setiap bait lirik,” jelasnya.
Menurut Misha, untuk karya pertama ini, dia tidak mahu kelihatan syok sendiri dan sebaliknya dia turut membuka ruang untuk bekerjasama dengan banyak pihak kerana mahu memberikan yang terbaik kepada semua.
“Jujur saya akui, saya berasa selamat kerana di sisi saya ada banyak tangan, termasuk penulis lirik berpengalaman, Slen yang sentiasa bersedia memberikan magis mereka untuk melihat Tanpa Rela mencatat kejayaan membanggakan,” katanya.
Meskipun proses itu ada ketika memberinya tekanan, malah pernah membuatnya sukar melelapkan mata, Misha berdoa segala usaha dan kerja kerasnya itu membuahkan hasil yang diharapkan.
“Selalunya apabila sudah membuat persediaan rapi, ia memudahkan lagi tugasan sebelum melangkah ke studio rakaman. Saya pula sebaliknya apabila menjadi semakin takut dan tidak senang duduk, terutama apabila memikirkan harapan tinggi yang diletakkan peminat sehingga cukup membuatkan saya resah.
“Namun, saya percaya, apabila sudah memberikan sepenuh hati, usaha itu harapnya dapat sampai dekat di hati peminat. Itu lebih penting kerana dokongan peminat menjadi kekuatan untuk saya berdiri selama ini,” katanya.
Tidak menafikan, semakin tidak sabar menanti detik Tanpa Rela dilancarkan, Misha berharap, usaha itu memberikan anjakan supaya dia lebih bersemangat dan serius mengorak langkah menjadi insan seni disegani.
“Tanpa Rela memberikan makna yang begitu besar dalam kerjaya nyanyian saya. Prosesnya tidak mudah kerana semua pihak yang terbabit, terutama Sze Wan dan Datuk Syafinaz begitu teliti.
“Mereka mementingkan kesempurnaan dari semua sudut dan sebagai penyanyi, kepercayaan besar mereka membuatkan saya berasa dihargai serta disayangi. Saya berharap Tanpa Rela akan menjadi penyambung legasi Misha Omar dalam perjalanan menuju dua dekad sebagai insan seni,” katanya. – KopiPlanet.com
The post Misha Omar Ubati Kerinduan Peminat Dengan Single Tanpa Rela appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: