Ads Top

Makan Buah Sebelum Makan Bukan Sunnah, Tapi Anjuran Ulama

Pasti ramai yang pernah mendengar tentang perkara ini – dahulukan makan buah sebelum makan berat adalah sunnah yang dianjurkan baginda Rasulullah SAW.

Malangnya ia tidak benar seperti yang dikatakan. Pihak Mufti Wilayah Persekutuan tidak menemui sebarang hadis sahih dan jelas tentang perkara ini.

Sebenarnya ia hanya saranan daripada golongan ilmuwan sahaja. Contohnya Imam Ghazali yang pernah menyebutkan bahawa;

 “Turutan cara makan yang dianjurkan adalah dengan mendahulukan memakan buah kerana itu sesuai dengan ilmu kedoktoran. Tambahan pula, ia (buah) lebih cepat dicerna maka lebih baik buah berada di bahagian bawah perut (berbanding makanan yang lain). Di dalam al-Qur’an terdapat peringatan agar mendahulukan memakan buah.” (Lihat Ihya’ ‘Ulum al-Din, 16/2)

Maksud bahawa “di dalam Al-Quran terdapat peringatan agar mendahulukan makan buah” adalah kerana mengambil kefahaman bahawa perkataan buah-buahan disebut lebih awal berbanding makanan lain seperti daging.

وَفَاكِهَةٍ مِّمَّا يَتَخَيَّرُونَ

وَلَحْمِ طَيْرٍ مِّمَّا يَشْتَهُونَ

Maksudnya: “Dan juga (dibawakan kepada mereka) buah-buahan daripada jenis-jenis yang mereka pilih. Serta daging burung daripada jenis-jenis yang mereka ingini.” (Surah Al-Waqiah 56:20-21)

Tambahan pula, Syeikh Wahbah Al-Zuhaili mengulas dalam tafsirnya bahawa buah lebih cepat turun ke perut, cepat untuk dihadam dan lebih baik daripada sudut kesihatan.

Manakala daripada sudut kesihatan, Abbey Ryan menulis dalam laman web Medical News Today bahawa makan buah sebelum makan berat dapat membantu seseorang mengurangkan berat badan. Hal ini kerana seseorang itu akan lebih kenyang dan tidak akan mengambil makanan seterusnya dalam jumlah yang banyak.

Justeru, seseorang boleh sahaja memilih untuk memakan buah sebelum makan kerana manfaat yang ada, namun ia tidak boleh disebut sebagai sunnah dan disandarkan kepada Rasulullah SAW kerana tidak ada hadis yang menyebut tentangnya.

Rujukan:

  1. Mufti Wilayah Persekutuan
  2. Medical News Today



No comments:

Powered by Blogger.