Ads Top

Lapan Tahun Menjanda, Octavia Belum Jumpa Pengganti Yang Sesuai

Setelah hampir lapan tahun bergelar ibu tunggal, pelakon Octavia Manrose berkata dia tidak serik untuk kembali mendirikan rumah tangga sekiranya sudah berjumpa jodoh yang serasi.

Pemilik nama sebenar Wan Syamira Putri Oktovia Wan Syahman, 29, ini juga mengatakan dia tiada masalah membawa gelaran janda yang sering kali diberi tanggapan negatif oleh segelintir pihak.

“Sebelum ini mungkin ramai kurang jelas dengan status saya sebab saya pun tidak pernah berkongsi mengenai perkara ini kepada umum. Saya sebelum ini pernah berkahwin pada 2011 namun hubungan itu tidak bertahan lama apabila berpisah dua tahun kemudian.

“Setakat ini saya tidak terlalu memikirkan tentang perkahwinan mungkin disebabkan pengalaman dahulu membuatkan saya lebih senang untuk berada dalam ‘comfort zone’ sekarang ini.

“Saya tidak serik untuk berkahwin lagi sebab saya pun ada juga rasa sunyi tapi mungkin sebab saya ada anak dan ahli keluarga lain yang buat saya tidak terlalu memikirkan tentang perkara itu,” katanya kepada KopiPlanet.com.

Octavia ditemui pada majlis menandatangani kontrak perjanjian bersama syarikat pengurusan Absolut Talent & Management yang berlangsung di Bangsar, baru-baru ini. Octavia kini bernaung di bawah agensi pengurusan tersebut bersama rakan artis seperti Ikmal Amry, Nadiyah Shahab, Scha Elinnea, Nabil Aqil, Harris Anuar, Aisar Khaleed, Najla Shamsul, Nurin Afiqah dan Yasmine Ow.

Hasil perkahwinan terdahulu, Octavia dikurniakan seorang anak lelaki, Muhammad Rayyan Zafarrel yang kini berusia lapan tahun.

Menurut Octavia, anak tunggalnya merupakan pembakar semangat untuk dia meneruskan kehidupan walaupun mengakui berhadapan cabaran ketika melalui episod penceraian pada usia yang muda.

“Saya tidak nafikan berhadapan cabaran nak membesarkan anak sendirian pada usia muda namun begitu anak jadi pembakar semangat untuk saya meneruskan kehidupan dan bekerja keras untuk keselesaan dia.

“Anak merupakan amanah dan dia adalah segalanya untuk saya. Saya buat semua ini untuk dia. Rayyan memang berada di bawah jagaan saya sepenuhnya namun kalau saya ada kerja, saya akan tinggalkan dia sebentar bersama bekas ibu mertua. Walaupun saya sudah berpisah, namun hubungan saya dengan bekas ibu mertua masih baik sehingga kini,” ujarnya lagi. – KopiPlanet.com

No comments:

Powered by Blogger.