Ads Top

Hukum Membayar Hutang Dengan Nilai Yang Lebih

Apabila kita berhutang, wajib ke atas penghutang untuk melunaskannya. Sama ada ia adalah dituntut atau tidak, ia adalah hak yang perlu ditunaikan.

Terutamanya jika kita berhutang dengan individu seperti adik beradik, kawan mahupun orang sekeliling.

Walaupun mereka boleh memberi hutang atau dianggap kaya, tidak semestinya anda boleh berlengah-lengah dengan perkara tersebut.

Kadang-kadang, ada juga orang yang memberi hutang bukan disebabkan dia mampu pun, namun lebih kepada wujudnya rasa ihsan dalam dirinya yang ingin membantu.

Jadi, cubalah sedaya upaya untuk ingat jumlah hutang yang ada dan membayarnya apabila mampu atau apabila telah sampai tempohnya.

Bahkan, jika anda mahu, anda juga boleh membayar hutang dengan jumlah yang lebih daripada nilainya.

Ia tidak menjadi kesalahan untuk menerima lebihan wang tersebut kerana jika dilihat pada situasinya, ia adalah diberikan secara rela kepada si pemiutang dan bukannya diminta.

Baginda SAW juga diriwayatkan pernah membayar hutang secara lebih. Ia ada diriwayatkan oleh Jabir Ibn Abdullah RA:

كَانَ لِي عَلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم دَيْنٌ فَقَضَانِي وَزَادَنِي

Maksud: “Baginda SAW berhutang kepadaku, lalu Baginda membayarnya dan melebihkan bayaran kepadaku.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 443)

Namun, hukumnya adalah haram jika si pemiutang itu yang meminta lebihan wang sedangkan ia tiada dalam akad persetujuan dan sebagainya.

Sebaiknya, biarlah ia diberi berdasarkan kerelaan si pembayar hutang sendiri.

Justeru, ia sebenarnya adalah sunnah dan boleh untuk melebihkan bayarannya. Ada juga sebahagian ulama yang menyebut bahawa ia adalah digalakkan.

Rujukan:
Mufti Wilayah




No comments:

Powered by Blogger.