Ads Top

Diberi Kesihatan Juga Adalah Rezeki Yang Perlu Disyukuri

Yang dimaksudkan dengan rezeki yang baik adalah rezeki yang halal. Halal itu bukan pada apa yang diperoleh sahaja, namun ia dilihat dari segenap aspek. Macam mana cara kita mendapatkannya, dengan sumber apa ia diperoleh dan sebagainya. Itulah yang akan memberi keberkatan kepada apa yang ada.

Ada orang beranggapan bahawa rezeki yang baik itu ialah apabila Allah meredai perkara tersebut. Bagaimana untuk mengetahui bahawa ia adalah diredai?

Salah satu perkara yang boleh dilihat ialah rezeki itu bukan sahaja yang memberi kebaikan kepada diri kita tetapi boleh juga memberi impak kepada orang sekeliling.

Contohnya, dalam kekenyangan kita, orang lain juga boleh turut merasa kenyang. Kita masih lagi boleh memberi walau ia kelihatan sikit.

Namun, perlu difahami bahawa konsep rezeki bukan setakat itu sahaja. Ia bukan sekadar duit dan kecukupan makanan sahaja, tetapi sangat luas.

Kita masih boleh bernyawa hari ini pun sudah dikira rezeki. Kita masih boleh makan nasi tanpa perlu menelan ubat pun dikira sebagai rezeki. Kita masih boleh menikmati udara dan oksigen hari ini juga dikira rezeki.

Pendek kata, kesihatan kita hari ini adalah rezeki. Malah, ia adalah rezeki yang paling besar yang sepatutnya kita syukuri.

Namun, kadang-kadang manusia lupa. Kenapa? Sebab ia merupakan perkara yang dirasakan biasa dan sentiasa ada setiap hari.

Bayangkan, tiba-tiba kita bangun dari tidur, nikmat penglihatan kita tiba-tiba ditarik. Tiada lagi cahaya yang boleh menerangi hari kita. Mata kta juga sudah tidak boleh memandang ibu bapa kita.

Pasti, pada masa itu barulah kita sedar betapa besarnya nikmat yang selama ini tidak pernah kita syukuri.

Sebab itu orang kata, hargai sebelum ia tiada. Nikmati sementara ia masih ada. Bimbang kelak, kita akan menyesal kerana tidak mensyukurinya.

Dari Muaz bin Abdullah bin Khubaib, dari bapanya, dari datuknya, Nabi SAW bersabda:

Maksud: “Tidak mengapa seseorang itu kaya asalkan bertakwa.Sihat bagi orang yang bertakwa itu lebih baik dari kaya. Dan hati yang bahagia adalah bahagian dari nikmat.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah, no. 2141)

Jadi, bagaimana cara untuk bersyukur dengan kesihatan itu? Yang paling penting ialah ia boleh digunakan ke arah kebaikan.

Sementara sihat inilah kita boleh bekeja mencari rezeki. Jangan malas atau memberi alasan untuk tidak melakukan apa-apa.

Yang paling penting ialah jangan mengeluh dengan sekecil perkara kerana Allah sebenarnya memberi kita banyak perkara lagi untuk disyukuri.

Sumber:
Rumaysho.com




No comments:

Powered by Blogger.