Ads Top

Dalam Bergurau Jangan Sehingga Menipu

Dalam kita berhubungan sama ada berkawan atau dengan pasangan sendiri, pasti kita akan menghiasinya dengan perkara-perkara yang lawak atau berjenaka agar ia tidak hambar dan serius sepanjang masa.

Bahkan, Islam sendiri yang menggalakkan umatnya untuk sentiasa ceria dengan sekeliling. Ia secara tak langsung untuk memandu emosi kita ke arah yang positif.

Jika dilihat pada sirah juga, Baginda SAW disifatkan sebagai seorang yang ceria. Baginda pernah mengusik sahabatnya dan juga para isterinya. Inilah yang menjadikan kehidupannya sebagai harmoni dan bahagia.

Adapun, dalam kita berjenaka dan membuat lawak kepada orang sekeliling kita, perlu dijaga adab yang digariskan.

Antara yang paling penting ialah dengan mengelakkan jenaka yang mempunyai unsur penipuan.

Ada sebuah riwayat daripada Mu’awiyah bin Jaydah Al-Qushayri bahawa Nabi SAW bersabda:

وَيْلٌ لِلَّذِي يُحَدِّثُ فَيَكْذِبُ لِيُضْحِكَ بِهِ الْقَوْمَ وَيْلٌ لَهُ وَيْلٌ لَهُ ‏

Maksud: “Celakalah buat seseorang yang menceritakan suatu cerita dengan tujuan untuk membuatkan sesuatu kaum itu ketawa, maka dia berdusta. Celakalah buatnya, celakalah buatnya.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 4990)

Ulama berpandangan bahawa haram hukumnya menipu walaupun dalam berjenaka. Perbuatan ini boleh dianggap sebagai perkara yang mungkar dan diibaratkan mengakui pembohongan itu.

Bergurau itu diibaratkan sebagai meletakkan garam di dalam makanan. Jika garam itu terlebih, nanti akan menjadi masin dan tidak elok untuk kesihatan. Jika berkurang pula, takut nanti tiada rasa.

Begitulah dengan kehidupan kita. Tambahkan gurauan, namun dalam kuantiti yang sepatutnya dan kualiti yang betul.

Rujukan:
Rumaysho.com




No comments:

Powered by Blogger.