Ads Top

Dahsyatnya Allah Menahan Hujan Pada Akhir Zaman

Sekarang ini kita lihat cuaca tidak menentu. Sekejap hujan dan sekejap panas. Ada berita yang kita dengar tempatnya dilanda kemarau dan ada berita lain yang kita lihat tempatnya dilanda ribut dan banjir.

Cuaca yang tidak menentu dan bukan pada musimnya ini kadang-kadang menimbulkan gusar kepada kita. Kalau hujan yang melampau, ia boleh merisaukan kita dengan banjir.

Tetapi, kalau panas, terlintas di hati akan peristiwa akhir zaman yang pernah diceritakan oleh Nabi SAW bahawa akan terjadinya kemarau yang berpanjangan sehingga muncullah Dajjal, fitnah terbesar di akhir zaman.

Ada sebuah hadis yang menceritakan tentang bagaimana Allah menahan hujan seraya menjadikan bumi ini kemarau dan kering kontang. Apa yang menakutkan ialah bila kita sudah tiada makanan untuk diisi dan minuman untuk menghilangkan haus.

Maksud: “Sesungguhnya tiga tahun yang penuh dengan kesukaran sebelum keluarnya dajjal, manusia akan ditimpa padanya dengan kelaparan yang melampau. Allah SWT memerintahkan langit pada tahun pertama agar menahan satu pertiga daripada hujan dan Allah juga memerintahkan bumi untuk menahan satu pertiga daripada sumber tanah.

Kemudian, Allah memerintahkan langit pada tahun kedua agar menahan dua pertiga daripada hujan dan Allah juga memerintahkan bumi untuk menahan dua pertiga daripada sumber tanah. Kemudian, Allah memerintahkan langit pada tahun ketiga agar menahan terus hujan dan sejak itu hujan tidak lagi turun walaupun setitik.

Di samping itu, Allah akan memerintahkan bumi untuk menahan terus daripada sumber tanah sehingga bumi tidak lagi tumbuh kehijauan. Maka, tidak akan hidup lagi binatang yang berkuku melainkan kesemuanya mati kecuali yang tinggal apa yang Allah kehendaki sahaja. Dikatakan: “Bagaimana manusia hidup di zaman itu?” Nabi SAW bersabda: “Tahlil, takbir dan tahmid ini akan memberi mereka makan sama seperti makanan.” (Hadis Riwayat Ibn Majah, no. 4067)

Hadis ini dinukilkan sahih oleh Al-Albani melalui kitabnya Sahih Jami’ al-Sahgir wa Ziyadatuhu. Ibn Khuzaimah juga mengatakan bahawa ia adalah hadis yang sahih.

Ia menunjukkan bahawa rentetan perkara yang akan terjadi sebelum keluarnya Dajjal di muka bumi ini. Kemarau, tiada turunnya hujan dan tumbuhan yang sukar tumbuh menunjukkan petanda akhir zaman.

Diceritakan pada akhir hadis ini bahawa manusia sudah sukar untuk mencari makanan kerana haiwan dan tumbuhan semua mati. Tiada bekalan air bersih kerana tanah yang kering kontang dan hujan yang tidak turun.

Bagaimana kita boleh hidup pada zaman itu? Pada akhir hadis ini juga disebut bahawa perbanyakkanlah zikir, tahmid dan tahlil kepada Allah. Ia adalah salah satu kekuatan rohani dan dalaman supaya dapat membantu kita bersabar dengan ujian akhir zaman itu.

Kesimpulan

Walaupun sekarang kita melihat cuacanya yang tidak menentu; antara hujan dan panas yang mungkin mengurangkan sedikit kerisauan mengenai hadis ini, namun tidak salah untuk kita sentiasa beringat.

Ingat bahawa cepat atau lambat, peristiwa akhir zaman ini akan berlaku. Sekarang pun, kita sudah berada pada akhir zaman. Banyak tanda yang sudah dapat dilihat.

Yang paling penting ialah kita perlu sentiasa mengingati Allah dalam apa jua perkara yang dilakukan.

Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan




No comments:

Powered by Blogger.