Ads Top

Benarkah Rasulullah SAW Mempunyai Kucing Bernama Muezza?

Siapa yang tidak terhibur melihat telatah kucing-kucing comel yang ditularkan di media sosial. Bahkan buat pencinta kucing, ada yang sehingga mencipta akaun media sosial buat kucing miliknya.

Sikap suka pada kucing pula kadang kala dikaitkan dengan kisah sahabat Rasulullah SAW terhadap kucing. Siapa lagi jika bukan Abu Hurairah yang namanya bermaksud bapa kucing. Beliau digelar begitu kerana terlalu suka pada kucing.

Tidak kurang ada cerita-cerita yang terdapat di internet mengisahkan bahawa Rasulullah SAW sendiri mempunyai seekor kucing yang dinamakan Muezza.

Walau bagaimanapun, setelah dirujuk di laman web Mufti Wilayah Persekutuan berkenaan hal ini, pihak mereka yang telah menjalankan carian dalam kitab-kitab hadis yang muktabar mendapati tidak ada walau satu riwayat yang menyebutkan bahawa baginda memiliki dan membela seekor kucing dengan nama Muezza.

Bahkan menurut mereka, kisah-kisah Rasulullah SAW bersama kucing tidak ada asalnya dalam kitab-kitab yang muktabar meskipun ia masyhur diceritakan.

Yang ada adalah kisah Abu Hurairah yang menceritakan tentang dirinya suka bermain kucing.

‘Ubaidillah bin Abi Rafi’ berkata bahawa dia pernah bertanya kepada Abu Hurairah mengapa beliau digelar dengan nama Abu Hurairah.

Lalu Abu Hurairah menjawab; “Aku dahulu memelihara kambing milik keluargaku, dan aku dahulu memiliki seekor anak kucing yang kecil. Pada waktu malam aku meletaknya di sepohon pokok dan apabila waktu siang aku membawanya bersama denganku kemudian aku bermain dengannya, maka orang ramai memberi kuniyah kepadaku sebagai Abu Hurairah.” (Al- Isabah fi Tamyiz al-Sahabah , Ibn Hajar – 7/349)

Daripada kisah ini lah kita memahami keharusan memelihara kucing, malah hukum berbuat ihsan kepada binatang apa sekalipun adalah wajib.

Berbalik kepada persoalan pada awal tadi – adakah Rasulullah SAW mempunyai kucing bernama Muezza, ringkasnya, tidak terdapat sebarang riwayat sahih yang menceritakan hal tersebut. Menyandarkan hal ini kepada baginda dibimbangi termasuk dalam perbuatan berbohong atas nama Rasulullah SAW yang sangat dilarang dalam Islam.

Rujukan:

  1. Mufti Wilayah Persekutuan



No comments:

Powered by Blogger.