Ads Top

Antara Qada Solat Dan Solat Sunat – Mana Yang Lebih Baik

Ramai dalam kalangan kita yang sedang merebut peluang untuk bertaubat. Selagi ada masa, nyawa dan pintu taubat yang masih terbuka luas, selagi itu kita boleh bertaubat. Tidak kiralah sama ada dosa tersebut yang besar, mahupun kecil kita dianjurkan untuk bertaubat.

Paling kurang pun, dalam sehari perbanyakkanlah melazimi istighfar. Itu adalah cara yang paling mudah untuk bertaubat. Sambil tunggu LRT untuk ke tempat kerja pun, boleh sahaja dizahirkan istighfar di mulut.

Allah Maha Mengetahui hati-hati hambaNya. Allah tahu kita nak bertaubat tetapi disebabkan kesibukan dengan urusan dunia, pekerjaan dan tuntutan kehidupan ini menyebabkan kita sedikit sukar untuk melakukan solat sunat taubat. Jadi, jika susah untuk mencuri masa menunaikan solat sunat, boleh sahaja beristighfar.

Maha Pemurahnya Allah ialah apabila terdetik sahaja keinginan untuk bertaubat, pada waktu itu juga Allah telah memberikan rahmat dan peluangNya kepada kita untuk melakukannya.

Namun, jika dilihat; mungkin ada dalam kalangan kita yang melakukan dosa besar, iaitu sering meninggalkan solat fardu sepanjang kehidupan lalunya atau memandang ringan akan perkara tersebut sehingga kadang-kadang solat dan kadang-kadang tak solat.

Jadi, perkara yang paling utama pada waktu itu adalah dengan menggantikan solat tersebut berdasarkan kemampuan (jika terlalu banyak meninggalkan solat sehingga terlupa bilangannya). Ganti solat ini boleh dilakukan pada bila-bila masa kerana Allah memberi keutamaan untuk itu.

Walau bagaimanapun, mungkin kadang-kadang terbit juga perasaan nak menunaikan solat sunat yang lain. Contohnya, solat sunat rawatib (sebelum dan selepas solat fardu), solat sunat Tahajjud dan juga hajat serta pelbagai lagi.

Jika selepas solat fardu sudah diambil masa untuk menunaikan qada solat yang ditinggalkan, bagaimana dengan solat sunat rawatib atau yang lain?

Jadi, yang mana perlu didahulukan? Dalam hal ini, jumhur berpendapat bahawa menggantikan solat fardu itu adalah kewajipan dan keutamaan yang perlu diselesaikan.

Berdasarkan sabda Baginda SAW:

Maksud: “Maka, adalah hutang kepada Allah itu lebih berhak untuk dilangsaikan.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Jadi, tidak mengapa jika pada awal penghijrahan, anda tidak menunaikan solat sunat yang lain dan berfokus kepada solat ganti.

Namun, jika mampu, boleh sahaja menunaikan solat sunat secara berkala atau mengikut waktu. Contohnya, ambil satu hari untuk menunaikan solat Duha atau boleh sahaja menunaikan solat sunat rawatib selepas menunaikan qada solat pada waktu Zohor.

Tuntasnya, penghijrahan itu perlu dilakukan secara perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang tersimpan di hati hamba-hambaNya.

Wallahu a’alam.

Sumber:
Mufti Wilayah




No comments:

Powered by Blogger.