Allah Itu Sentiasa Ada Dekat Dengan Jiwa Manusia
Kita selalu cari Allah di langit, melihat kalau-kalau ada tanda awan yang berbentuk kalimah Allah untuk percaya bahawa Allah itu dekat dan sentiasa ada.
Ada juga yang mencari Allah dengan melihat tanda-tanda sekeliling. Contohnya, baru-baru ini kecoh di media sosial berkenaan telinga bayi yang baru lahir berbentuk kalimah Allah. Ada juga yang memberi komen bahawa itulah bukti Allah wujud.
Tidak dinafikan bahawa ia adalah bukti kebesaran Allah yang ditunjukkan untuk kita sedar bahawa Allah itu tidak pernah jauh dan sentiasa ada.
Namun, adakah kita hanya percaya bahawa kewujudan Allah itu setakat itu sahaja? Adakah kita hanya ingat Allah apabila adanya tanda-tanda sebegitu?
Tanpa sedar, sebenarnya Allah ada dekat dengan kita sentiasa. Cuma kita sahaja yang kurang sedar. Kenapa? Kerana mungkin ada dalam kalangan kita yang mencari Allah hanya apabila diperlukan. Mengingat Allah tika bersedih atau menghadapi masalah besar.
Tetapi, Allah itu sentiasa ada di hati kita sama ada dalam situasi yang sukar mahupun senang. Sebagaimana firman Allah yang bermaksud:
Mafhum: “Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku, maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka).” (Surah Al-Baqarah, 2:186)
Jadi, jangan mencari Allah jauh-jauh, kerana Allah itu dekat dengan diri kita dan sentiasa ada.
Allah Sangat Dekat Ketika HambaNya Sedang Sujud
Apabila seseorang itu semakin taat kepadaNya, maka Allah akan semakin dekat denganNya. Taat di sini ialah mengikut setiap aturanNya, sentiasa mengingati Allah dalam setiap perkara yang dilakukan dan berusaha secara perlahan-lahan untuk meninggalkan kemaksiatan.
Bahkan, Nabi SAW pernah berpesan bahawa waktu yang paling dekat manusia dengan Allah ialah ketika sedang bersujud.
Pada waktu inilah dikatakan bahawa waktu yang paling sesuai untuk berdoa atau meluahkan isi hati kepadaNya kerana sujud merupakan sebuah bentuk perhambaan kepadaNya.
Dari Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Keadaan yang paling dekat antara seorang hamba dengan Rabbnya adalah ketika ia sedang sujud, maka perbanyaklah berdoa pada saat itu.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 482)
Justeru, setiap ciptaan Allah di muka bumi ini adalah bukti kebesaranNya. Gunung yang tinggi, lautan yang luas dan langit yang menenangkan, semuanya adalah bukti bahawa Allah itu ada.
Tidak perlu tunggu perkara yang unik timbul barulah hati ingin percaya dan mencari tuhan sedangkan semuanya ciptaan Allah itu adalah unik dan indah.
Wallahu a’alam.
Rujukan:
Rumaysho.com
No comments: