Ads Top

Adakah Percikan Air Dari Akuarium Itu Najis

Setiap orang pasti mempunyai haiwan yang diminati. Sama ada ia sekadar suka untuk dilihat atau dijadikan sebagai haiwan peliharaan, semua itu adalah salah satu sifat murni dan fitrah manusia yang ada.

Walaupun ada juga dalam kalangan kita yang tidak meminati haiwan atau tidak boleh membela haiwan peliharaan kerana ada alahan-alahan tertentu, itu juga merupakan perkara yang perlu dilalui oleh sesetengah orang.

Dalam kita menjaga haiwan peliharaan, kita dituntut untuk berlaku ihsan terhadap mereka. Sebagaimana kita menjaga diri sendiri, maka mereka juga perlu dijaga. Bekalkan makanan yang mencukupi, memberikan tempat tinggal kepada mereka dan pastikan kesihatan mereka juga dijaga.

Sebagai contoh, jika anda membela ikan, tempat yang terbaik untuk meletakkan mereka adalah di dalam akuarium. Tak kisahlah sama ada ia yang kecil atau yang besar, asalkan yang dapat memberi keselesaan kepada ikan tersebut.

Ada juga yang hanya meletakkannya di dalam botol atau bekas biasa. Tak kisah di mana anda meletakkan mereka, yang paling penting adalah yang dapat memberi keselesaan kepada ikan tersebut.

Airnya pula perlu ditukar secara berkala bagi menjaga kesihatan mereka. Disebabkan itu, penjaga perlu peka akan perubahan pada haiwan itu.

Sebagai contoh, jika anda melihat ikan anda tercungap-cungap di permukaan air, ia menandakan bahawa kualiti air mungkin bermasalah dari segi oksigen. Jadi, ia perlu diselesaikan dengan menambah air atau memasukkan pam udara.

Jika ingin menukar air pula, anda perlu menitikberatkan kebersihan. Maksudnya di sini ialah, jika ada air yang menitik di sekitar rumah anda yang datangnya dari air akuarium itu, maka ia perlu dibersihkan.

Kenapa? Kerana air dari akuarium adalah datangnya dari tempat tinggal ikan yang mengandungi campuran dari badannya seperti najis dan sebagainya.

Jadi, percikannya adalah najis dan perlu dicuci dengan baik sehingga hilang bau, rasa dan warna seandainya akuarium tersebut mengandungi air yang sedikit, iaitu kurang dari dua kolah.

Imam Nawawi berkata – “Sesungguhnya dalam Mazhab kami, semua jenis kotoran (tahi), tahi burung dan air kencing dikira sebagai najis sama ada haiwan yang boleh dimakan atau tidak. Begitu juga dengan burung. Hukum yang sama juga terhadap kotoran (tahi) ikan dan belalang dan binatang yang tidak mengalir darahnya seperti nyamuk. Maka, kotoran dan air kencing kedua-duanya dikira sebagai najis. Inilah pendapat mazhab dan telah diputuskan oleh ulama Syafi’e Iraqiyyun dan sekumpulan ulama Khurasaniyyun.” (Al-Majmuk Syarah Al-Muhazzab, 2/550)

Kesimpulan

Tuntasnya dapat kita faham bahawa jika percikan air dari akuarium yang kecil dan tidak melebihi dua kolah, maka ia adalah najis dan perlu dicuci sehingga hilang bau, rasa dan warna.

Adapun, jika ia adalah sedikit dan tidak nampak atau tidak disedari, maka ia adalah tidak mengapa dan dimaafkan.

Wallahu a’alam.

Sumber:
Mufti Wilayah




No comments:

Powered by Blogger.