Ads Top

4 Perkara Yang Boleh Diamalkan Untuk Menjemput Rezeki

Setiap dari kita pasti berdoa untuk meminta agar Allah memberikan rezeki yang melimpah ruah. Bahkan, ramai dari kita yang diuji dengan masalah kesempitan rezeki, wang yang tidak cukup apabila tibanya hujung bulan dan dikelilingi dengan beban hutang serta komitmen yang perlu dilangsaikan.

Jadi, pastinya kita akan meminta kepada Allah untuk membantu agar melapangkan rezeki agar setiap masalah yang dihadapi itu dapat dilalui dengan lancar.

Namun, dalam kita tidak sedar sebenarnya Islam telah mengajarkan kita beberapa cara yang mudah untuk diamalkan bagi menjemput rezeki. Tinggal kita sahaja untuk mengamalkannya kerana wang yang banyak atau harta yang melimpah ruah pastinya tidak datang bergolek secara tiba-tiba.

Jadi, antara perkara mudah yang boleh diamalkan adalah;

#1 – Bersedekah

Kadang-kadang kita takut nak bersedekah sebab bimbang jika pemberian itu boleh menyempitkan lagi rezeki. Namun, dalam kita tak sedar, semakin kita memberi semakin banyak yang Allah akan gantikan kepada kita.

Allah itu Maha Pemberi Rezeki. Apabila kita memudahkan orang dan mengeluarkan harta ke jalan yang baik, maka Allah akan menggantikan dengan sesuatu yang lebih besar.

Mafhum: “Katakanlah (Wahai Muhammad): “Sesungguhnya tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya dan Dia juga yang menyempitkan baginya; dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya; dan Dia lah jua sebaik-baik pemberi rezeki.” (Surah As-Saba’, 34:39)

#2 – Istighfar

Kadang kita lupa, mungkin dosa-dosa yang kita lakukan boleh menjadi salah satu asbab mengapa rezeki itu terhalang daripada datang kepada kita.

Disebabkan itu, kita dituntut untuk sentiasa bertaubat, sama ada dengan melakukan solat sunat taubat atau beristighfar, boleh sahaja.

Yang paling mudah untuk dilakukan adalah dengan memperbanyakkan istighfar kerana ia boleh dilakukan di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa.

Jadi, sentiasalah mengingati Allah dengan istighfar-istighfar dan zikir yang diajar.

Mafhum: “Sehingga aku berkata (kepada mereka): “Pohonkanlah ampun kepada tuhan kamu, sesungguhnya adalah Dia Maha Pengampun.” (Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah kepada kamu.” (Surah Nuh, 71:10-11)

#3 – Berusaha

Zaman sekarang yang dipenuhi dengan kemudahan teknologi dan perkara-perkara baru, pastinya mewujudkan pelbagai peluang untuk mencari rezeki.

Jadi, ia tidak menjadi alasan kepada kita untuk bermalas-malasan dalam mencari rezeki. Walaupun ia datang lambat, tetapi sekurang-kurangnya kita telah meletakkan usaha. Itu adalah lebih baik berbanding dengan orang yang hanya menunggu rezeki jatuh dari langit.

#4 – Faham Konsep Rezeki

Sebenarnya konsep rezeki itu luas. Ia bukan sahaja dalam bentuk wang ringgit atau harta yang melimpah ruah, namun semua yang berada di sekeliling kita juga adalah rezeki.

Diberi kesihatan yang baik, mempunyai kudrat untuk bekerja, mendapat doa dari ibu bapa dan banyak lagi merupakan rezeki.

Contohnya, jika anda sedang menganggur. Mungkin pada pandangan mata kasar, itu adalah suatu perkara yang boleh menyusahkan ramai pihak terutamanya ibu bapa anda kerana anda sendiri masih belum boleh menghulurkan wang kepada mereka.

Namun, siapa tahu mungkin antara hikmah yang tersembunyi ialah ia merupakan peluang untuk anda menjaga orang tua anda di rumah.

Tidak semestinya rezeki itu dengan menghulurkan wang setiap bulan kepada mereka, namun ia hadir dalam bentuk penjagaan fizikal kepada mereka.

Kesimpulan

Jadi, bersangka baiklah kepada Allah. Allah memberi sesuatu atau menunggu masa yang sesuai untuk menghadirkan rezeki kepada anda kerana Dia tahu apa yang terbaik untuk anda pada masa itu.

Yang paling utama adalah sentiasa berdoa dan jangan bersyukur. Semakin kita bersyukur, semakin Allah tambahkan.

Wallahu a’alam.




No comments:

Powered by Blogger.