Zarina Anjoulie Berjaya Dapatkan Penghakiman Ingkar Terhadap Amyza Aznan
Mahkamah Tinggi telah membenarkan permohonan pelakon, Zarina Anjoulie Mohamad Fahizul untuk mendapatkan penghakiman ingkar terhadap Amyza Aznan dalam kes saman fitnah bagi menuntut ganti rugi berjumlah RM3 juta.
Menerusi laporan daripada Bernama, Hakim Datuk Azimah Omar membenarkan permohonan Zarina selaku plaintif berikutan Amyza atau nama sebenarnya Azizah @ Amyza Aznan sebagai defendan gagal memfailkan memorandum kehadiran untuk menjawab saman itu pada tarikh yang ditetapkan.
“Saman yang difailkan plaintif adalah mengikut prosedur dan teratur, namun defendan telah memasukkan kehadiran untuk menjawab saman itu lewat,” kata hakim itu. Mahkamah juga memerintahkan Amyza membayar kos RM2,500.
Peguam Rejinder Singh yang bertindak bagi pihak Amyza memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya akan memfailkan permohonan bagi mengetepikan penghakiman ingkar itu Isnin ini.
“Kami juga memohon kepada mahkamah untuk penggantungan prosiding kes saman sehingga pelupusan permohonan penghakiman ingkar oleh pihak kami didengar di mahkamah,” katanya.
>Baca: Zarina Anjoulie Kemuka Saman Malu Terhadap Tiga Individu
Terdahulu, Rejinder berkata anak guamnya telah memasukkan kehadiran untuk menjawab saman difailkan Zarina pada 1 Julai lalu setelah dimaklumkan oleh peguam plaintif.
“Defendan tidak pernah menerima apa jua writ saman dan penyataan tuntutan kerana ia diserahkan di alamat yang beliau (defendan) tidak tinggal.
“Anak guam saya hanya menyedari ada satu permohonan ingkar kehadiran yang dibuat oleh plaintif setelah dimaklumkan oleh rakan media lain yang memintanya untuk memberi komen mengenai perkara itu pada 25 Jun lalu,” ujarnya.
Sementara itu, peguam Wan Azmir Wan Majid yang mewakili Zarina berkata plaintif akan memfailkan permohonan supaya mahkamah membuat taksiran ganti rugi berikutan keputusan hari ini.
Pada 23 April lalu Zarina menfailkan saman terhadap Amyza dan mendakwa selepas pengumuman kerajaan berhubung Bantuan Prihatin Nasional (BPN) kepada rakyat dalam golongan B40 dan M40 yang berpendapatan sebulan RM8,000 ke bawah, sebahagian daripada golongan artis tempatan turut menyuarakan pendapat mereka dan menyatakan bahawa pihak kerajaan perlu memberikan satu ‘bantuan khusus’ bagi mereka atau penggiat seni negara.
Mengikut penyataan tuntutan itu, Zarina yang juga seorang usahawan mendakwa diatelah memuat naik video di laman sosial Instagramnya pada 28 Mac lalu yang secara umum menyatakan bahawa ‘bantuan khusus’ tersebut adalah tidak perlu dan hanya golongan artis yang layak, boleh memohon BPN seperti rakyat lain.
Dakwanya, pada 29 Mac pula satu kumpulan dikenali sebagai ‘BANTUAN COVID-SENI 2020’ ditubuhkan menggunakan aplikasi pesanan ringkas Telegram bagi membincangkan mengenai bantuan COVID-19 kepada artis tempatan dan kumpulan itu mempunyai sekurang-kurangnya 819 ahli terdiri daripada penggiat seni termasuk Amyza.
Plaintif mendakwa melalui salah satu ahli kumpulan itu, Amyza telah mengeluarkan kenyataan fitnah terhadapnya menyebabkan ramai ahli kumpulan berkenaan turut terpengaruh, selain mendakwa defendan juga telah mengeluarkan kenyataan memfitnah di Instagram miliknya untuk paparan umum yang dimuat naik April lalu.
Dakwanya lagi, kenyataan fitnah itu antara lain membawa maksud bahawa plaintif seorang yang berperangai buruk, tidak bertanggungjawab dan sering menabur fitnah terhadap artis-artis lain dan akibat kenyataan itu dia mengalami kemurungan kerana dimalukan dan reputasinya turut tercalar.
Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am atas kehilangan reputasi berjumlah RM3 juta, ganti rugi teladan, faedah dan permohonan maaf daripada defendan.
Selain itu, defendan juga dihalang daripada mengeluarkan sebarang bentuk kenyataan memfitnah, memalukan, atau menjatuhkan reputasi plaintif, pada masa akan datang, kos serta relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. – KopiPlanet.com
The post Zarina Anjoulie Berjaya Dapatkan Penghakiman Ingkar Terhadap Amyza Aznan appeared first on KopiPlanet.com.
No comments: