Tidak Bangun Qiamullail Adalah Tanda Allah Tidak Mahu Jumpa?
“Tak bangun qiamullail, tu tanda Allah tak nak jumpa kita”
Rancak ayat sebegini disebarluaskan di media sosial. Mungkin orang yang menulisnya pertama kali berniat menjentik hati-hati mereka yang liat bangun tahajud agar insaf dan tergerak hati untuk berusaha dengan lebih gigih supaya dapat bangun tahajud.
Namun hati-hati, kerana ayat “Allah tak nak jumpa” ini ibarat kita meletakkan sendiri punca atau sebab bagi pihak Allah. Sedangkan menyandarkan suatu kenyataan kepada Allah memerlukan hujah dan dalil yang kukuh.
Sebenarnya dalam hal ini, tidak ada dalil yang menyebutkan bahawa kesukaran seseorang untuk bangun tahajud adalah tanda Allah ‘tidak mahu jumpa’, namun kerana kesilapan dan kealpaan diri sendiri.
Kata Fudhail bin Iyadh: “Jika kamu tak mampu qiamullail, ketahuilah kamu dibelenggu dengan dosa.”
Ini adalah satu sebab yang menyebabkan kita berat untuk melakukan ibadah. Hal ini kerana kita sudah maklum bahawa dosa dapat menghitamkan hati dan membuatkan malas beribadah. Beberapa orang alim juga mengatakan perkara yang sama. Contohnya Imam Sufyan Al-Tsauri berkata: “Aku ini terhalang dari melakukan qiamullail selama lima bulan disebabkan satu dosa yang aku lakukan.”
Malah dalam satu kisah, seorang lelaki bertanya kepada Imam Hasan Al-Basri:
“Wahai Abu Sa’id, sesungghunya aku ini tidur dalam keadaan sejahtera, aku cintakan qiamullail, dan aku juga telah bersiap sedia dengan wuduk aku, namun mengapakah aku masih tidak bangun?”
Maka jawab Hasan al-Basri:
ذُنُوبُكَ قَيَّدَتْكَ
Maksudnya: Dosa-dosa kamu mengikat kamu (dari mengerjakan qiyamullail). – Rujuk Fasl Al-Khitab Fi Al-Zuhd wa Al-Raqaiq (9/400)
Antara sebab lain yang menyukarkan seseorang untuk bangun qiamullail ialah kerana lambat tidur yang akhirnya membuatkan seseorang tidak dapat rehat yang cukup dan akan lebih mengantuk.
Jadi, mari kita memasang strategi baru untuk lebih mudah bangun mengerjakan qiamullail. Antaranya ialah:
#1- Ikhlaskan Niat
Pasanglah azam dan niat bersungguh-sungguh untuk bangun tahajud. Secara tidak langsung, kita telah memberi isyarat kepada minda bawah sedar agar berjaga-jaga untuk bangun lebih awal. Jika niat kita ikhlas untuk mendekatkan diri kepada Allah, sudah tentu Allah akan mengurniakan rezeki buat kita untuk bangun malam.
#2- Jauhi Dosa Dan Maksiat
Seperti yang telah disebutkan di atas, dosa dan maksiat adalah penghalang utama untuk seseorang itu terhalang daripada melakukan qiamullail.
Jika kita lihat pada zaman Rasulullah SAW dan para sahabat, mereka juga adalah golongan yang sentiasa bekerja dan berjuang di jalan Allah, namun masih kuat untuk bangun menunaikan solat pada waktu malam. Hal ini kerana tidak lain tidak bukan, jiwa mereka sudah kuat dan sentiasa menjauhkan diri daripada dosa dan maksiat.
#3- Tidur Awal
Rasulullah SAW tidak suka tidur sebelum Isyak dan berjaga malam (berbual-bual) atau melakukan perkara yang tidak bermanfaat. Tidur awal akan memberi rehat yang cukup kepada badan. Malah kajian moden mendapati tidur pada pukul 10 malam hingga pukul 2 pagi dapat memberi seorang itu tidur nyenyak dan dapat menjana semula tenaga. Melatonin akan meningkat serta dapat memulihkan badan dari dalam.
Kesimpulan
Kita tidak akan menjadi rajin melakukan ibadah dengan tiba-tiba. Semua orang bermula sedikit demi sedikit sehingga ia menjadi rutin dan kelaziman yang sebati dengan diri. Bermulalah dengan menjaga diri sendiri dalam aspek-aspek yang telah disebutkan di atas. Semoga akhirnya kita direzekikan dengan selalu dapat bangun malam untuk bermunajat kepada Allah.
Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan
No comments: