Ads Top

Terlibat Kes Ganti Rugi, Nelydia Bersyukur Masih Dapat Jadi Duta Produk

Terpalit kontroversi kes saman dengan sebuah syarikat kosmetik tempatan, pelakon Nelydia Senrose bersyukur dirinya masih lagi menjadi perhatian jenama lain di luar sana yang melantiknya sebagai duta.

Terbaharu, Nelydia bersama rakan pelakon, Fatin Afeefa dilantik menjadi duta produk sandal terkemuka dari Brazil, Havaianas selama setahun.

“Saya tidak nafikan berita itu (kes mahkamah) buat orang jadi sangsi dengan saya. Sudah semestinya saya tidak suka dengan situasi seperti ini sebab saya sentiasa jaga nama (baik) dalam industri. Namun, saya tidak salahkan ‘client’ kalau mereka berfikiran seperti itu, namun saya yakinkan mereka yang saya akan beri komitmen seperti yang telah dijanjikan.

“Bila kita termaktub dalam satu temppoh kontrak, pasti akan ada salah faham sebab kita pun bekerja, cuma ia terletak pada diri kita bagaimana nak handle benda itu. Saya hargai orang masih percaya pada saya dan saya minta doa semua agar kes ini berjalan dengan lancar dan tiada apa-apa lagi salah faham (yang akan timbul) dan kes ini terlerai secara baik,” katanya.

Majlis pengumuman lantikan kedua-dua selebriti itu berlangsung dalam suasana cukup meriah di The Loaf, Pavilion, Kuala Lumpur semalam.

> Baca: Isu Perosak Rumah Tangga, Fatin Afeefa Rasa ‘Tak Layak’ Beri Komen

Sebelum ini, syarikat pengeluar produk kosmetik Chriszen Malaysia Sdn. Bhd. menuntut ganti rugi sebanyak RM160,000 daripada Nelydia berhubung pelanggaran kontrak sebagai duta mereka pada tahun 2019.

Pengarah Urusan Chriszen, Mandy Leong Cheng Mun menjelaskan bayaran sebanyak RM102,000 telah dilunaskan kepada aktres tersebut bagi tujuan mempromosikan produk mereka.

Bagaimanapun, bayaran itu tidak setimpal dengan tugas yang dijanjikan dan Nelydia didakwa gagal melaksanakan tanggungjawab sebaik bersetuju menjadi duta sejak Disember 2018.

Sementara itu, Nelydia yang sudah lebih setahun mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Mohd Hafez Halimi, 36, berkata dia tidak tertekan apabila sering kali diajukan soalan mengenai cahaya mata.

Menurut aktres berusia 26 tahun ini, dia berserah kepada rezeki yang telah ditetapkan Allah SWT dan tidak pernah membuat sebarang perancangan mengenai hal tersebut.

“Saya tidak rasa sebarang tekanan bila orang selalu bertanya bila nak timang anak sebab saya tahu niat mereka baik bila bertanya. Secara jujurnya saya memang tidak berasa rimas bila diajukan soalan itu, doakan saya ya,” ujarnya lagi.

Nelydia berkahwin dengan Hafez pada 6 April tahun lalu selepas dua tahun berkenalan rapat. – KopiPlanet.com

The post Terlibat Kes Ganti Rugi, Nelydia Bersyukur Masih Dapat Jadi Duta Produk appeared first on KopiPlanet.com.




No comments:

Powered by Blogger.