Ads Top

Hukum Menindik Lebih Daripada Satu Bahagian Telinga

“Sesungguhnya Allah SWT itu cantik, dan suka akan kecantikan.” (Sahih Muslim, no.91)

Ia bukan sekadar kata-kata biasa, tetapi kata-kata hadis yang disebut oleh baginda Rasulullah SAW sendiri bagi menggambarkan bahawa Allah itu menyukai hal-hal yang baik, cantik, bersih, dan seumpamanya.

Namun harus diingat kecantikan tersebut mestilah dalam batas yang dibenarkan contohnya perempuan yang berhias untuk mahramnya sahaja. Jika ada keperluan untuk menghias diri pula mestilah tidak berlebihan sehingga mencapai tahap tabarruj. Wanita masih boleh memakai gincu dan alatan solek lain yang tidak kelihatan ketara dan memilih warna-warna yang tidak menarik perhatian.

Bercakap tentang perhiasan, Tzkrh kali ini ingin menyentuh tentang satu jenis cara berhias yang sinonim dengan wanita iaitu bertindik.

Bahagian badan yang dipilih untuk ditindik biasanya adalah telinga kerana membolehkan seseorang itu memakai subang atau anting-anting. Ia juga menjadi budaya para wanita sejak zaman jahiliyyah hingga ke zaman Islam.

Diceritakan pada zaman baginda SAW, apabila umat Islam diperintahkan untuk bersedekah, terdapat para wanita yang menyedekahkan anting-anting mereka. Justeru, hal ini secara tidak langsung memberitahu kepada kita bahawa diharuskan untuk memakai perhiasan telinga atau anting-anting bagi perempuan dengan syarat ia tidak dizahirkan kepada khalayak umum kerana telinga adalah sebahagian daripada aurat.

Ulama Syafieyyah mempunyai pandangan yang berbeza-beza dalam hal ini. Sebahagian daripada mereka mengharuskannya dan sebahagian melarangnya. Walau bagaimanapun jumhur ulama berpendapat bahawa menindik telinga adalah harus bagi perempuan dan haram secara mutlak bagi lelaki.

Jumhur ulama berpendapat harus hukum menindik bayi perempuan dengan tujuan perhiasan. Ini kerana kebanyakan para wanita di zaman Nabi SAW menindik telinga mereka dan Baginda SAW tidak melarangnya. Ini seperti yang digambarkan di dalam hadis Ibnu Abbas RA. (Rujuk: Al-Mausuah Al-Fiqhiyyah Al-Kuwaitiyyah: 11/272) – Dipetik daripada laman web Mufti Wilayah Persekutuan.

Manakala menindik telinga melebihi daripada satu tempat tidak diharuskan kerana menyerupai amalan golongan kafir. Selain itu, ada juga yang menindik di bahagian tubuh yang lain seperti hidung, pusat, lidah dan bibir.

Ustaz Ad-dien di laman twitter miliknya pernah menyebutkan bahawa hukum menindik hidung adalah harus selagi tidak memudaratkan. (Rujuk I’anah al-Tolibin – 4/175) Namun jika hiasan subang tersebut jelas tampak di hidung dan mengundang fitnah maka wajarlah dielakkan. Islam membenarkan penganutnya berhias namun usah sampai berlebih-lebihan kerana Allah tidak menyukainya.

Daripada Abdullah bin Amru bin Al-Ash sabda Baginda SAW,

كُلُوا وَاشْرَبُوا وَتَصَدَّقُوا وَالْبَسُوا مَا لَمْ يُخَالِطْهُ إِسْرَافٌ أَوْ مَخِيلَةٌ ‏

Maksudnya: Makan dan minumlah, bersedekah dan berpakaianlah tanpa ada unsur berlebihan atau sia-sia. (Rujuk: Sunan Ibnu Majah, no. 3605) – Dipetik daripada laman web Mufti Wilayah Persekutuan

Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan




No comments:

Powered by Blogger.