Ads Top

Hukum Berzikir Dengan Batas Bilangan 100 Atau 1000 Kali

Antara amalan ringan tetapi besar ganjarannya di sisi Allah yang dianjurkan untuk dilakukan ialah berzikir. Zikir merupakan salah satu cara untuk mengingati Allah. Maksud zikir itu sendiri ialah ingat. Dengan membaca zikir, ia boleh membantu kita untuk lebih dekat kepadaNya dan tidak lalai.

Banyak jenis zikir yang telah diajar dan diamalkan oleh Nabi SAW. Setiap zikir itu mempunyai kelebihan dan manfaatnya yang tersendiri. Ada juga yang digalakkan dibaca pada setiap pagi sebagai pembuka kepada hari baru anda dan ada juga yang digalakkan untuk dibaca sebelum tidur.

Tetapi, waktu-waktu tersebut adalah sebagai panduan sahaja. Ia sebenarnya boleh dilakukan pada bila-bila masa kerana tiada had masa dalam mengingati Allah.

Begitu juga dengan bilangan zikir. Ada yang afdal dibaca sebanyak tiga kali, ada juga yang afdal dibaca sebanyak tujuh kali. Jika ada dalil dan amalan yang Nabi SAW lakukan, maka dibolehkan untuk mengikutinya.

Namun, dalam menentukan bilangan zikir, ada juga yang mensyaratkan dengan jumlah yang banyak seperti sebanyak 100 kali atau 1000 kali.

Adakah jumlah yang besar seperti ini juga boleh diamalkan dalam berzikir atau bolehkah tidak mengikutinya?

Syeikh Ali Al-Jumuah berkata – “Memperbanyakkan zikir merupakan sunnah sama ada ia dengan jumlah yang ditentukan atau tidak. Namun, jika ada dalil yang menyebut mengenai keutamaan menyebutkan zikir sekian sebanyak 100 kali, bolehlah diikuti jika tidak memberatkan. Namun, jika ia adalah hal yang diada-adakan, itu ialah bid’ah. Walaupun ia bid’ah yang baik, namun tidak boleh berdusta di atas nama nabi kerana nabi tidak pernah berkata atau berbuat demikian.”

Penjelasan di atas menerangkan bahawa bilangan zikir yang dibataskan itu perlulah berlandaskan perbuatan dan perkataan yang sahih dari Nabi. Jika benar digalakkan untuk membaca sebanyak 1000 kali, maka boleh untuk mengikutinya.

Namun, jika tiada dalil sahih berkenaan perkara tersebut, sebaiknya jangan menggunakannya. Boleh untuk berzikir sebanyak berapa kali yang anda mahu kerana sunnah ialah dengan memperbanyakkan zikir. Namun, amalan itu jangan diwajibkan sehingga membebankan.

Bahkan, jika ada dalil yang membataskan zikir dengan bilangan tertentu, tidak semestinya dilakukan dengan bilangan tersebut.

Boleh sahaja menambah atau mengurangkan bilangan itu mengikut kemampuan sendiri asalkan ibadah yang dilakukan itu ikhlas keranaNya.

Tuntasnya, zikir itu merupakan perkara yang baik dan dianjurkan untuk dilakukan sentiasa. Latihlah diri untuk mengucapkan zikir agar ia sebati dengan diri sendiri. Sama ada ia dibatasi dengan bilangan yang tertentu atau tidak, yang paling penting ialah anda seronok dalam berzikir.

Wallahu a’alam.

Rujukan:
Rumaysho.com




No comments:

Powered by Blogger.