Ads Top

Hiasilah Pakaian Taqwa Dengan Iman Dan Amal

Kalau baju kotor akibat tertumpah sos cili, boleh terus ke sinki untuk mencuci kotoran tersebut dengan segera. Lantas, ia akan hilang. Walaupun kesannya masih ada, namun sekurangnya ia tidak akan begitu kelihatan.

Setiap minggu pula, baju-baju kotor yang telah dipakai pasti akan dibasuh dengan sabun. Masukkan sahaja ke dalam mesin basuh dengan sukatan sabun, kemudian ia akan dicuci secara automatik.

Itu ialah pakaian kita hari-hari. Kalau kotor dan tidak berbasuh, pasti imej kita akan dipandang rendah. Adakah orang ini tidak reti menjaga kebersihan? Atau adakah dia tidak reti membasuh baju? Dan banyak lagi bualan orang terhadap kita.

Mengapa? Kerana ia adalah perkara yang boleh dilihat dengan mata kasar. Tetapi ada satu lagi jenis pakaian yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar, iaitu pakaian takwa.

Apa itu pakaian takwa dan bagaimana cara untuk mencucinya jika ia kotor dan busuk? Walaupun tiada manusia yang boleh melihatnya dengan mata kasar, namun ketahuilah bahawa Allah Maha Melihat.

Zaid bin Ali berkata pakaian takwa itu adalah agama Islam itu sendiri. Ibnu Abbas pula berpendapat ia adalah iman dan amalan soleh yang dilakukan.

Pakaian takwa itu sebenarnya keimanan kita kepada Allah sendiri. Dengan bertaqwa ialah kita meletakkan sepenuhnya kepada Allah. Melakukan setiap kebaikan dan meninggalkan setiap kemungkaran sebagaimana yang telah diajar dalam Islam, itulah taqwa.

Syeikh ‘Abdurrahman bin Nashir berkata – “Bekal yang sebenarnya yang tetap mesti ada di dunia dan di akhirat adalah bekal taqwa, ini adalah bekal yang mesti dibawa untuk negeri akhirat yang kekal abadi. Bekal ini diperlukan untuk kehidupan sempurna yang penuh dengan kenikmatan di akhirat. Siapa sahaja yang meninggalkan bekal ini, perjalanannya akan terputus dan akan mendapat pelbagai kesulitan, bahkan ia tidak boleh sampai kepada negeri orang yang bertaqwa (iaitu syurga) inilah pujian bagi yang bertaqwa.” (Taisir Al-Karim Ar-Rahman, 92)

Kalau fungsi pakaian itu adalah untuk menutup aurat dan bahagian badan yang perlu ditutup, maka fungsi pakaian taqwa pula ialah untuk menutup aib dan menjaga keimanan diri.

Mencantikkan diri dengan pakaian taqwa seperti memperindahkan akhlak, memperbanyakkan amalan kebaikan dan mengelakkan diri daripada maksiat. Ia merupakan antara cara yang boleh dilakukan untuk menghiasi pakaian taqwa anda.

Justeru, jagalah pakaian taqwa anda kerana ia adalah perkara yang perlu diambil perhatian. Jika kotor, ‘cucilah’ ia dengan taubat dan istighfar kepadaNya.

Jangan dibiarkan ‘pakaian’ tersebut berlonggok tanpa dicuci kerana sebaik-baik pakaian ialah pakaian taqwa.

Maksud: “Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaiknya.” (Surah Al-A’raf, 7:26)




No comments:

Powered by Blogger.