Ads Top

Hasil 10 Tahun Menyimpan, Achey Berjaya Beli Rumah Tiga Tingkat

Bukan senang untuk senang. Setelah hampir 10 tahun menabung, pelawak Achey atau nama sebenarnya, Mohd Nasir Hamzah, 34, akhirnya berjaya memiliki rumah idamannya yang terletak di Bukit Saujana, Sungai Buloh, Selangor.

Menurut pelawak tersebut, dia dan keluarga akan berpindah ke kediaman baharu tiga tingkat itu selepas sambutan Hari Raya Aidiladha nanti sebaik sahaja rumahnya siap direnovasi.

“Rumah itu dibeli hasil wang simpanan dan saya jual empat buah motosikal. Bukan beli tunai, masih lagi hutang bank! Alhamdulillah, 10 tahun impian saya tercapai nak memiliki rumah itu.

“Sekarang dalam proses ubahsuai dan saya dan keluarga akan pindah masuk dijangka selepas Raya Haji nanti.

“Berapa harga rumah biarlah rahsia tapi biasa-biasa sahaja, yang penting ia lengkap dan selesa untuk kami sekeluarga,” katanya kepada KopiPlanet.com ketika ditemui pada majlis pelancaran produk pewangi kereta Sugar Bomb X Achey yang berlangsung di Ruang, Shah Alam semalam.

Sebelum ini, Achey ada memuat naik sekeping foto di laman Instagram memberikan bayangan dekorasi lampu chandelier di kediaman baharunya itu.

Menurutnya, 10 tahun bukanlah satu tempoh yang singkat untuknya fokus mengumpul duit yang mana banyak pengorbanan yang perlu dilakukan seperti menjual barang yang bukan keperluan buat dirinya.

“Menyimpan untuk masa depan, setiap perkara yang kita buat mesti ada target. Walaupun 10 tahun..ASB, motosikal dan beberapa kehendak yang kami ada kami cairkan untuk renovasi (rumah baharu). Tinggalkan keperluan dalam hidup dan untuk pekerjaan,” ujar Achey yang memulakan kerjaya seni menerusi program pencarian pelawak, Bintang Mencari Bintang.

Achey dan isteri, Nor Hasanah Yahya mendirikan rumah tanga sejak sembilan tahun lalu dan mengambil anak angkat, Nur Tiara Zinnirah pada tahun 2018.

Sementara itu, mengulas mengenai kolaborasinya dengan Sugar Bomb, Achey mengeluarkan lima pewangi kereta pelbagai variasi termasuk berbau Timur Tengah, Medinna yang kini semakin mendapat perhatian terutama daripada peminatnya di Sabah dan Sarawak.

Majlis perasmian produk itu turut dihadiri Pengurus Besar Sugar Bomb, Kanumbu Agussalim dan Nabil Ahmad. – KopiPlanet.com

No comments:

Powered by Blogger.