Beza Bisikan Nafsu Dan Bisikan Syaitan
Sebut sahaja amalan keburukan, atau apa jua jenis kejahatan, pasti kita akan mengambil kira tentang bisikan atau godaan syaitan sehingga berjaya mempengaruhi manusia dan memesongkannya daripada kebenaran.
Namun, adakah itu sahaja alasannya? Bagaimana pula dengan pengaruh hawa nafsu sedangkan ia juga ada disebutkan dalam Al-Quran mahupun hadis-hadis yang bersumber daripada Nabi SAW.
Para ilmuwan menyebutkan bahawa sebenarnya ada perbezaan antara bisikan nafsu dan bisikan syaitan. Menurut Syeikh Muhammad Mutawalli Sya’rawi, “Antara perbezaan godaan nafsu ialah ia amat kuat menarik ke arah kejahatan dengan hanya bersifat terarah dan terkhusus.”
Allah berfirman melalui Surah Yusuf, ayat ke 53 yang bermaksud:
“Sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah ia dari hasutan nafsu itu”
Imam At-Thabari pula menjelaskan bahawa nafsu yang dimaksudkan ialah “nafsu hamba yang memerintahkan kepada seluruh apa yang dia inginkan oleh hawanya, meskipun bukan pada sesuatu yang diredhai oleh Allah SWT.” Lihat Jami’ al-Bayan ‘an Ta’wil Ay al-Quran (13/209)
Selain itu, Syeikh al-Sa’di menyebut bahawa nafsu akan terus mengajak manusia kepada kejahatan dan perbuatan keji serta perbuatan dosa yang lain. Nafsu ini juga menjadi tunggangan syaitan untuk menyesatkan manusia, dan melalui jalan nafsu juga syaitan akan masuk kecuali bagi sesiapa yang dirahmati oleh Allah SWT. Lihat Taisir al-Karim al-Rahman fi Tafsir Kalam al-Mannas, (3/408)
Pandangan Al-Junaid Al-Baghdadi juga tidak kurang menarik dalam menggambarkan fungsi nafsu iaitu ia akan berterusan mendorong manusia melakukan kejahatan sehingga berhasil.
Kata beliau: “Apabila syaitan mengajak kamu melakukan sesuatu penyelewengan tertentu, tetapi kamu melawannya, dia akan mempengaruhi kamu supaya melakukan penyelewengan yang lain pula.”
Ringkasnya, hasutan nafsu lebih terarah pada satu-satu kejahatan. Hal ini kerana pada hemat penulis, setiap manusia pasti mempunyai titik kelemahan yang berbeza-beza.
Manakala sifat hasutan syaitan disebut sebagai tidak terarah pada satu-satu jenis kejahatan sahaja. Jika ia tidak berjaya menghasut dalam satu kejahatan, ia akan bertukar menghasut supaya melakukan kejahatan lain pula. Wallahua’lam.
Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan
No comments: