Bolehkah Melakukan Ibadah Korban Pada Waktu Malam
Hukum melakukan ibadah korban adalah sunat yang dituntut ke atas muslim yang mampu dan mempunyai harta yang cukup ke atasnya dan juga tanggungannya.
Ia dilakukan pada 10, 11 dan 12 Zulhijjah bermula selepas solat sunat Hari Raya Aidil Adha serta bacaan khutbah. Contohnya, jika solat sunat Aidil Adha bermula pukul 8.30 dan berakhir pukul 9.30, maka aktiviti penyembelihan boleh bermula pada pukul 9.30 pagi.
Adapun, jika melakukan aktiviti penyembelihan pada malam sebelum hari raya (10 Zulhijjah), maka korbannya adalah tidak sah. Begitu juga jika ia dilakukan selepas 13 Zulhijjah atau malam 14 Zulhijjah.
Jika dilihat dalam budaya masyarakat kita, ibadah korban biasanya dilakukan pada waktu pagi sehingga siang. Ada juga yang akan melakukannya pada waktu petang sebelum Maghrib dan disambung keesokan harinya sehingga 13 Zulhijjah.
Jarang kita lihat orang yang melakukan ibadah korban pada malam hari. Namun, adakah ia boleh dilakukan pada malam hari kerana melihatkan ia masih lagi berada dalam tarikh ibadah korban yang dibolehkan.
Jumhur ulama berpendapat bahawa waktu penyembelihan korban adalah berterusan daripada siang hingga malam. Namun, makruh hukumnya jika dilakukan pada waktu malam.
Imam Nawawi berkata – “Para ulama berselisih pendapat mengenai korban di malam hari dan malam-malam korban (hari Aidul Adha dan Hari Tasyriq). Imam Syafi’e sendiri membolehkan namun menilainya sebagai makruh. Demikian pula dikatakan oleh Abu Hanifah, Ahmad, Ishaq dan jumhur lain. Imam Malik juga berpendapat demikian. Sedangkan Imam Ahmad dalam salah satu pendapatnya ialah tidak sah dan dianggap sebagai daging biasa (bukan penyembelihan daging kurban).” (Syarh Muslim, 13/111)
Hal ini adalah disebutkan kerana tiada dalil yang sahih mengenai ibadah korban yang dilakukan pada waktu malam. Adapun, perbuatan itu juga bimbang boleh menyusahkan ahli yang menyertai korban tersebut kerana prosesnya yang agak lama.
Walau bagaimanapun, jika wujud kekangan lain seperti tukang penyembelihan yang ada urusan yang tidak dapat dielakkan atau ahli korban yang tidak dapat hadir awal dan sebagainya sehingga waktu malam sahaja yang lapang, ia adalah dibolehkan dan dikira sah.
Wallahu a’alam.
Rujukan:
Rumaysho.com
No comments: