Ads Top

Benarkah Wanita Yang Tidak Dikurniakan Anak Di Dunia Akan Memperolehnya Di Syurga?

Setiap orang yang telah melalui alam rumah tangga pasti menginginkan cahaya mata sebagai pelengkap kepada perkahwinan yang dibina itu.

Namun, tidak semua orang diberi rezeki yang sama dan melalui perjalanan yang indah sebagaimana pasangan lain.

Ada yang diberikan rezeki yang cepat dengan dikurniakan cahaya mata dalam usia tidak sampai setahun perkahwinan. Ada juga yang diuji dengan terpaksa menunggu selama sepuluh tahun berkahwin barulah Allah hadirkan cahaya mata. Namun, ada yang memang tidak dikurniakan anak.

Itu semua adalah ujian dari Allah untuk melihat kesabaran kita. Walaupun kita tahu anak ialah segalanya yang boleh menghadirkan kebahagiaan kepada rumah tangga dan dalam masa yang sama boleh membantu menjadi saham untuk akhirat kita kelak.

Namun, ujian dan rahmat Allah itu Maha Luas. Kita tidak tahu apa hikmah besar yang disimpan dan ingin diberikan olehNya. Yang paling penting ialah bersangka baik dengan Allah dan berusaha.

Dalam dunia yang serba moden ini, terdapat pelbagai cara dan teknologi yang diperkenalkan bagi membantu pasangan yang belum dikurniakan cahaya mata.

Tidak salah untuk berusaha kerana Allah menggalakkan setiap umatNya untuk berusaha menjalani kehidupan ini bagi memandu kita ke arah yang lebih baik.

Bahkan, Allah menjanjikan sesuatu yang sempurna nikmatnya untuk kita di akhirat kelak bagi mengubat kesedihan tiada cahaya mata.

Dari Abu Said Al-Khudri RA, ia berkata bahawa Baginda SAW bersabda:

Maksud: “Seorang mukmin itu bila sangat menginginkan anak (namun tidak mendapatkannya), di syurga kelak ia akan mengandungkannya, menyusuinya dan tumbuh besar dalam sekejap sebagaimana ia menginginkannya.” (Hadis Riwayat Tirmidzi, no. 2563)

Jumhur ulama seperti Al-Hafidz Abu Tahir berkata bahawa hadis ini dinilai sahih. Walaupun ada ulama yang menyebut bahawa syurga bukanlah tempat untuk menghasilkan keturunan, namun mereka berpendapat bahawa wanita boleh meminta kepada Allah akan apa sahaja yang mereka mahukan termasuklah anak.

Hadis ini menunjukkan kepada kita bahawa ujian di dunia ini adalah untuk kita ingat bahawa Allah akan memberikan ganjaran yang besar di syurga kelak jika kita berjaya mengharunginya.

Yang paling penting ialah sabar. Walaupun ada yang menyebut, ujian dan sakit yang dirasai itu tidak mudah seperti mengungkapkan perasaan sabar, namun percayalah Allah telah memilih anda untuk mengharungi ujian itu kerana Allah yakin bahawa anda adalah wanita dan pasangan hebat yang mampu mengharunginya.

Wallahu a’alam.

Rujukan:
Rumaysho.com




No comments:

Powered by Blogger.