Ads Top

Bolehkah Memberikan Sedekah Kepada Orang Yang Menipu

Sedekah adalah amalan yang sangat dimuliakan dalam Islam. Banyak faedah sedekah yang biasa kita dengar iaitu nikmat yang bertambah, keberkatan rezeki oleh Allah, dijauhkan daripada api neraka dan sebagainya. Sedekah adalah pelaburan jangka masa panjang, bukan hanya untuk keberkatan hidup di dunia malah untuk kehidupan akhirat.

Bercakap tentang sedekah, banyak saluran sedekah yang ada sama ada kepada orang perseorangan mahupun kepada badan-badan berkumpulan seperti support group, kelab dan persatuan serta NGO.

Bagaimana pula jika ingin bersedekah kepada peminta sedekah atau orang yang tidak dikenali yang tiba-tiba datang menjual barang saat anda makan di restoran?

Pasti pernah terlintas di minda – adakah mereka menipu? Adakah kanak-kanak tersebut sebahagian daripada sindiket tertentu?

Setiap Orang Diberi Ganjaran Mengikut Apa Yang Dia Niatkan

Bagi memahami persoalan yang dibincangkan ini, mari kita ikuti kisah tentang Abu Yazid Ma’an yang mengambil sedekah daripada pemberian ayahnya sendiri.

Abu Yazid Ma’an bin Yazid bin Al-Akhnas r.anhu bercerita bahawa ayahnya pernah mempertanggungjawabkan sejumlah wang dinar kepada seseorang di masjid untuk disedekahkan kepada orang yang memerlukan.

Ma’an pun pergi berjumpa wakil itu bagi mendapatkan wang tersebut, kemudian dia pergi pula bertemu ayahnya. Ayah Ma’an lantas berkata:

“Sedekah itu sebenarnya bukan kutujukan padamu.”

Ma’an mengadukan hal tersebut kepada Rasulullah SAW, lalu baginda bersabda,

لَكَ مَا نَوَيْتَ يَا يَزِيدُ ، وَلَكَ مَا أَخَذْتَ يَا مَعْنُ

“Engkau dapati apa yang engkau niatkan wahai Yazid. Sedangkan, wahai Ma’an, engkau boleh mengambil apa yang engkau dapati.” (HR. Bukhari, no.1422)

Dari hadis ini, Ibnu Hajar Al-Asqalani berkata, “Orang yang bersedekah akan dicatat pahala sesuai yang ia niatkan baik yang ia beri sedekah secara lahiriah (fizikalnya) layak menerimanya atau tidak.” (Fath Al-Bari, 3: 292)

Bermakna, orang yang memberi sedekah masih akan mendapat ganjaran kerana dia telah berniat bersedekah sekalipun orang yang mendapatnya diragui layak atau tidak.

Hal ini kerana, kita mampu menilai seseorang daripada segi lahiriah (fizikal) sahaja. Kita tidak mampu membaca apa yang ada di hati mereka. Jika hati telah niat untuk memberikan sedekah kepada mereka, hilangkanlah ragu dengan bersangka baik bahawa mereka benar-benar perlu.

Bagaimana Jika Perbuatan Memberi Sedekah Kepada Pengemis Akan Menggalakkan Lagi Kegiatan Tersebut

Jika dibincangkan dari segi kegiatan sosial, maka ia boleh dipertimbangkan jika dirasakan perbuatan memberi sedekah akan semakin bertambah di satu-satu tempat, sekaligus membuatkan golongan ini semakin malas dan mencari jalan mudah dengan meminta-minta.

Selain itu, sedekah juga boleh dielakkan jika diketahui secara jelas bahawa orang yang meminta sedekah akan menggunakan wang yang diberikan untuk melakukan perkara yang dilarang dalam Islam, seperti berjudi, membeli rokok, arak dan lain-lain. Manakala jika diketahui bahawa penerima menipu dan dibimbangi bahawa orang lain turut terkena, maka perlu juga dielakkan dan diberikan pesanan kepada orang lain supaya tidak dizalimi sama.

Kami akhiri artikel kali ini dengan menyebutkan pesanan daripada Rasulullah SAW tentang ciri-ciri orang yang miskin dan benar-benar memerlukan, iaitu mereka yang memang tidak mempunyai kecukupan tetapi mereka malu dan tidak meminta-minta dengan cara mendesak.

Daripada Abu Hurairah, ia berkata, Nabi SAW bersabda,

لَيْسَ الْمِسْكِينُ الَّذِى تَرُدُّهُ الأُكْلَةُ وَالأُكْلَتَانِ ، وَلَكِنِ الْمِسْكِينُ الَّذِى لَيْسَ لَهُ غِنًى وَيَسْتَحْيِى أَوْ لاَ يَسْأَلُ النَّاسَ إِلْحَافًا

“Namanya miskin bukanlah orang yang tidak menolak satu atau dua suap makanan. Akan tetapi miskin adalah orang yang tidak punya kecukupan, lantas ia pun malu atau tidak meminta dengan cara mendesak.” (HR. Bukhari no. 1476)

Rujukan:
Rumaysho.com




No comments:

Powered by Blogger.