Bagaimana Untuk Didoakan Malaikat Walau Ketika Tidur
Jika ibadah seperti solat sunat atau mengaji, mungkin kita beralasan bahawa tidak ada masa, sibuk dan sebagainya. Namun bayangkan jika kita sentiasa didoakan para malaikat walaupun tidak melakukan apa-apa, hanya melakukan satu perkara kecil ini sahaja.
Apakah ia?
Iaitu tidur pada waktu malam dalam keadaan suci – membersihkan diri dan berwuduk sebelum tidur.
Rasulullah SAW pernah bersabda yang membawa maksud bahawa malaikat akan sentiasa bersama dengan orang yang tidur dalam keadaan suci.
“…tidak satu saat pun dia membalikkan badannya melainkan satu malaikat akan berkata: “Ya Allah, ampunilah hambaMu ini, kerana ia tidur malam dalam keadaan suci.”
Bukankah beruntung orang yang sentiasa dalam pemeliharaan malaikat malah didoakan dengan keampunan. Ia perkara yang sangat ringan dilakukan malah sesiapa sahaja mampu melakukannya. Soalnya mahu atau tidak sahaja.
Hanya perlu memastikan diri dalam keadaan bersih, mengambil wuduk, boleh diucapkan kalimah-kalimah zikir kemudian tidur.
Malah saat dia bangun untuk solat malam pula, Rasulullah SAW mengatakan doa yang dipohon tidak akan ditolak oleh Allah.
Dari Sahabat Mu’adz bin Jabal r.anhu, dari Nabi SAW, beliau bersabda:
مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَبِيْتُ عَلَى ذِكْرٍ طَاهِرًا فَيَتَعَارُّ مِنَ اللَّيْلِ فَيَسْأَلُ اللهَ خَيْرًا مِنَ الدُّنْياَ وَاْلآخِرَةِ إِلاَّ أَعْطَاهُ إِياَّهُ
“Tidaklah seorang muslim bermalam dalam keadaan berzikir kepada Allah dan dalam keadaan suci, lalu ia bangun pada suatu malam dan berdoa memohon kebaikan dunia atau akhirat kepada Allah melainkan Allah akan mengabulkan permintaannya.”
Mudah bukan untuk dapat pahala dan didoakan para malaikat, hanya perlu memastikan diri dalam keadaan suci sahaja. Setiap malam adalah peluang yang tidak seharusnya disia-siakan, jom manfaatkan!
No comments: