Ads Top

Bagaimana Jika Anggota Wuduk Terdapat Pelembap Dan Krim Pelindung Matahari

Antara keutamaan yang perlu diberi perhatian ketika berwuduk adalah memastikan wajah dan anggota wuduk yang lain sudah dibersihkan daripada sebarang alatan kosmetik. Hal ini kerana, dibimbangi ia dapat menghalang air wuduk daripada sampai ke kulit.

Namun, bagaimana pula jika bahan yang dipakai adalah sunscreen iaitu krim pelindung matahari sahaja? Ia sebahagian daripada skincare atau produk penjagaan kulit. Biasanya ia memberikan kesan ‘natural’ pada wajah seperti tidak memakai apa-apa.

Menurut syarak, anggota wuduk yang tidak terkena basuhan air wuduk secara sempurna akan menjadikan wuduk tidak sah, hatta sekecil bahagian kuku kaki sekalipun. Rasulullah SAW sendiri pernah menyuruh seorang lelaki yang tertinggal basuhan pada kuku kakinya untuk mengulangi wuduk semula.

Justeru, bagi memahami hukum dalam isu ini, ada dua syarat yang akan menjadikan wuduk itu sah.

Pertama, setiap suatu yang menghalang air daripada sampai kepada kulit menjadikan wuduk itu tidak sah contohnya sisa makanan atau tepung. Tetapi jika ia terhasil daripada peluh, maka dimaafkan.

Kedua, tidak ada sesuatu pada anggota wuduk yang mengubah air yang sampai kepadanya, contohnya minyak wangi dan dakwat. Walau bagaimanapun jika telah dibasuh dan yang tertinggal hanya bau wangian sahaja, maka ia tidak mengapa.

Berbalik kepada soalan asal, jika bahan kosmetik atau produk penjagaan wajah (skincare) itu menghalang wuduk daripada sampai ke kulit atau akan mengubah air wuduk itu sendiri, maka wajib ditanggalkan dengan sempurna sebelum berwuduk.

Walau bagaimanapun, dimaafkan jika kesan bahan kosmetik itu contohnya pelembap atau krim pelindung matahari terlalu nipis sehingga tidak menghalang air daripada kulit atau terlalu sedikit sehingga tidak mengubah sifat air mutlak tersebut.

Berhati-hatilah ketika bersuci. Pastikan wuduk dipelihara sempurna supaya solat juga terpelihara.

Sumber:
Mufti Wilayah Persekutuan




No comments:

Powered by Blogger.