Ads Top

Apa Hikmah Di Sebalik Kisah Nabi SAW Yang Mengembala Kambing

Apabila dilihat kepada sirah Nabi SAW, antara pengalaman hidup yang menguatkan Baginda sehingga mampu bertahan dalam menyampaikan dakwah ialah permulaan kehidupan yang cukup sukar.

Apabila lahir, Baginda tidak sempat mengenali bapanya kerana telah menjadi yatim pada usia dua bulan kandungan. Kemudian, ibunya pula meninggal dunia di saat Baginda masih lagi kanak-kanak. Apabila meningkat remaja, Baginda diajar untuk mengembala kambing.

Hidupnya bukan mengharapkan belas ihsan daripada bapa saudara atau datuknya semata-mata tetapi Baginda belajar untuk menyara kehidupannya dengan pekerjaan yang baik.

Kerja mengembala kambing atau haiwan ternakan bukan sahaja dilakukan oleh Baginda SAW tetapi kebanyakan nabi dan rasul terdahulu juga pernah melakukan hal yang sama.

Dari Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:

Maksud: “Tidak ada Nabi kecuali pernah menjadi pengembala kambing.” Para sahabat bertanya; “Apakah engkau juga wahai Rasulullah?” Baginda berkata: “Ya, aku telah mengembala dengan imbalan beberapa qirath (mata wang dinar) dari penduduk Mekah.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 2262)

Jika kita amati sirah tersebut, mengapa pekerjaannya bermula sebagai pengembala kambing? Kemudian, barulah Baginda menjadi peniaga yang membantu jualan barang dagangan Saidatina khadijah.

Dalam hal ini, ada beberapa perkara yang boleh kita lihat untuk dijadikan iktibar, iaitu;

#1 – Yang pertama, dengan mengembala dapat menjadikan seseorang itu sabar. Sabar dengan panas terik dan cuaca yang tidak menentu, sabar dengan kerenah kambing dan sabar menanti hasil daripadanya.

Hal inilah yang telah melatih diri Muhammad SAW untuk terus sabar dalam urusan Islam. Sabar dengan penerimaan dan makian yang diterima, sabar dengan ragam manusia dan sabar dalam menanti wahyu daripada Allah.

#2 – Yang kedua, Imam Ibnu Hajar menyebutkan bahawa proses pengembalaan kambing itu diibaratkan sebagai sebuah latihan kepadanya sebelum diberi tanggungjawab dan amanah yang lebih besar untuk menguruskan manusia dan menghadapi masalah umat. (Fath Al-Bari, 4:441)

Jadi, itulah perkara yang telah membantu mematangkan Baginda SAW agar lebih tabah dan tidak mudah melenting dalam usaha dakwahnya.

#3 – Yang ketiga ialah untuk memberitahu kepada kita semua bahawa walaupun sekecil-kecil pekerjaan, namun apabila ia halal, maka lakukanlah.

Jangan mengharap belas ihsan orang lain untuk hidup. sebaliknya berusahalah menanggung kehidupan sendiri. Walau apa pun pekerjaan yang anda lakukan seperti mengajar ilmu agama atau peniaga kecil-kecilan, carilah rezeki yang halal.

Jangan gunakan nama agama sebagai alasan atau untuk lari daripada tanggungjawab. Kehidupan itu merupakan amanah yang perlu dijalankan dengan baik.

#4 – Yang terakhir ialah – kehidupan Baginda bermula daripada bawah. Dari situ Baginda belajar untuk bersikap jujur, amanah dan tidak berbangga diri.

Kesannya, sepanjang dilantik sebagai Nabi, Baginda tidak pernah sombong atau menggunakan pangkatnya untuk kepentingan diri sendiri.

Bahkan, Baginda cuba membantu golongan yang kurang mampu dengan sebaik mungkin dan adil tanpa pilih kasih di antara yang kaya dan yang miskin.

Kesimpulan

Setiap pengalaman yang kita lalui dalam kehidupan itu mampu mengajarkan seseorang seribu satu erti. Yang paling penting, pengalaman tersebutlah yang boleh mematangkan kita dan boleh dijadikan panduan untuk masa akan datang.

Lihatlah sirah nabi dan selamilah ia untuk mengambil iktibar yang tersembunyi. Perkara itu tampak biasa jika tidak diamati namun sebenarnya terkandung seribu satu rahsia.

Wallahu a’alam.

Rujukan:
Rumaysho.com




No comments:

Powered by Blogger.