Ads Top

Anjuran Membaca ‘A’udzubillah’ Sebelum Masuk Tandas

Salah satu keistimewaan Islam adalah daripada sudut amalan berdoa yang diajarkan kepada penganutnya. Ia bermula daripada bangun tidur hinggalah tidur semula pada waktu malam. Seharian hidup seorang manusia, dianjurkan dilalui dengan doa agar dilindungi dan diberkati.

Antara doa yang diajarkan kepada kita adalah doa sebelum masuk tandas.

اللَّهُمَّ إنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْخُبْثِ وَالْخَبَائِث

“Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada Engkau daripada syaitan jantan dan betina.”

Kita dianjurkan membaca doa ini kerana tandas adalah tempat tinggal syaitan. Dan seperti kita ketahui, tugas syaitan adalah menggoda dan mempengaruhi manusia untuk melakukan hal-hal yang melalaikan, tidak terkecuali ketika berada di dalam tandas.

Doa di atas juga mempunyai sandarannya, iaitu berasal daripada hadis daripada Zaid bin Arqam, Baginda SAW bersabda:

إِنَّ هَذِهِ الْحُشُوشَ مُحْتَضَرَةٌ ، فَإِذَا أَتَى أَحَدُكُمْ الْخَلَاءَ فَلْيَقُلْ : أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنْ الْخُبُثِ

Maksud: “Sesungguhnya tempat membuang hajat didiami oleh syaitan. Jika salah seorang di antara kalian ingin memasuki tandas, maka ucapkanlah: أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنْ الْخُبُثِ (Aku berlindung kepada Allah daripada syaitan)(Hadis Riwayat Abu Daud, no. 5)

Doa tersebut mempunyai kalimah isti’adzah atau al-ta’awwuz iaitu doa memohon perlindungan kepada Allah daripada kejahatan dan keburukan. Antara bacaan ta’awwuz yang biasa ialah;

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم

“Audzubillahi minassyaithonirrajim’

Maksud: “Aku berlindung kepada Allah SWT daripada godaan syaitan yang direjam”

Jadi, sebelum masuk ke tandas, amalkanlah doa ta’awwuz ini sama ada doa penuh seperti yang dinyatakan pada awal artikel, atau sekadar doa pendek seperti yang terdapat dalam hadis.

أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنْ الْخُبُثِ

(Aku berlindung kepada Allah daripada syaitan)




No comments:

Powered by Blogger.