Ada Ketenangan Di Sebalik Langit Allah Yang Terbentang Luas
Manusia itu pelbagai ragam. Apabila dilanda masalah, setiap dari kita akan mengharunginya dengan pelbagai gaya. Ada yang terduduk sepi, ada yang cuba menyelesaikan masalah dengan segera, ada yang meminta bantuan daripada orang lain dan sebagainya.
Walau apa jua masalah yang anda lalui, pertama sekali perlu diingat bahawa ia bukanlah sekadar beban yang Allah hadirkan dalam diri anda sekadar suka-suka.
Allah memilih anda untuk mengharungi masalah tersebut kerana Allah yakin bahawa anda mampu mengharunginya. Ingat bahawa anda ialah insan hebat yang dipilih Allah untuk melatih diri anda menjadi sabar.
Perumpamaannya seperti setiap orang mempunyai saiz kasut yang tersendiri. Jika anda memakai kasut orang lain yang lebih kecil, pasti tidak muat dan sakitlah kaki. Namun, jika kasut tersebut terlebih besar, pastinya kaki anda tidak akan selesa.
Maksudnya di sini ialah, masalah yang kita hadapi itu adalah ‘muat-muat’ untuk diri kita sendiri. Sebab Allah tahu ‘saiz kasut’ yang sesuai untuk diri kita.
Tertekan, sedih dan rasa nak putus asa itu adalah perkara biasa yang sentiasa dihadapi oleh diri sendiri. Itulah asam garam perjalanan kita.
Cara kita melaluinya itulah yang membezakannya. Ada yang menonton wayang untuk mengelakkan diri terlalu berfikir kepada masalah. Ada pula orang yang akan meluahkan kepada kawan-kawan dan pelbagai lagi cara yang dirasakan sesuai untuk melepaskan tekanan tersebut.
Namun, cuba kita lihat sekeliling. Ada langit yang terbentang luas. Ada bukit yang menghijau, ada lautan yang tenang. Untuk apa tuhan menciptakan semua itu?
Tak lain tak bukan, salah satu jawapannya adalah untuk mengajar hati kita erti lapang dan tenang. Apabila kehidupan kita dirantai dengan tali masalah yang berbelit-belit, Allah ingin kita lihat ada langit yang luas lagi dibandingkan dengan rantaian tersebut yang terlalu kecil.
Allah ingin kita sedar bahawa di sebalik setiap kesulitan yang kita hadapi ini, ada nikmat yang lagi banyak yang telah Allah aturkan untuk kita di sepanjang kehidupan ini. Jika kita berhenti hanya disebabkan masalah itu, bagaimana kita ingin meraih ganjaran Allah yang tersedia di hujung perjalanan nanti?
Jadi, bila kita ada masalah, tak salah untuk menangis atau sedih tapi tataplah langit sejenak dan katakan pada diri bahawa masalah ini kecil sahaja jika nak dibandingkan dengan langit Allah yang Maha Luas.
Ketenangan itu akan hadir dan teruslah berjalan agar dapat meraih ketenangan yang hakiki.
No comments: