Status Kisah Mutiah, Wanita Yang Memuliakan Suaminya
Baru-baru ini tular mengenai isu pakaian suami dan anak-anak yang perlu diasingkan ketika membasuh. Ia dikatakan untuk menjaga adab dan cara memuliakan suami.
Namun, perkara itu menimbulkan kontroversi sehingga orang ramai mulai berpandangan sinis dan mengatakan bahawa ia tidak perlu dikongsi, cukup sekadar pendapat peribadi.
Tidak cukup daripada itu, ada segelintir pula yang mengaitkan bahawa perbuatan tersebut lebih baik diambil dan dijadikan sebagai teladan seperti kisah Mutiah, wanita pertama yang memasuki syurga kerana telah memuliakan suaminya.
Persoalannya di sini, benarkah riwayat yang menceritakan kisah Mutiah ini? Beliau juga dikatakan seorang yang sentiasa menyediakan rotan untuk digunakan suaminya sebagai hukuman jika makanan yang dihidangkan tidak enak.
Kisah ini sebenarnya telah dijawab oleh laman Semak Hadith.Com. Berikut petikan yang dinukilkan:
“Diceritakan bahawa Fatimah RA pernah bertanya kepada Rasulullah SAW tentang siapakah wanita pertama yang akan masuk syurga dan beliau terkejut kerana Baginda mengatakan wanita itu bernama Mutiah.
Lalu Fatimah pergi mencari rumah Mutiah dan bertanya akan kehidupan sehariannya. Mutiah kemudian menceritakan bahawa dia akan menyediakan rotan di sebelah hidangan. Jika makanan yang disediakan tidak lazat, rotan itu akan diberikan kepada suaminya untuk menghukum dirinya sendiri.”
Kisah ini dinukilkan sebagai kisah yang palsu. Hal ini kerana, tiada riwayat yang sahih berkenaan wanita yang masuk syurga.
Menurut Dr Basem, Syeikh al-Utaiby dan Syeikh Hasan al-Husaini, dalam kita menyebarkan sesuatu perkara yang berkaitan isu agama, kita tidak boleh terlalu leka menceritakan sesuatu tanpa usul periksa.
Inisiatif yang perlu dilakukan ketika berhadapan dengan penyataan yang meragukan ialah:
#1 – Jangan percaya dan berkongsi status yang tidak diketahui kesahihannya.
#2 – Rujuk dan bertanya pada yang alim atau pihak berautoriti.
#3 – Bantu menguar-uarkan kepalsuan hadis yang berlegar-legar di sekitar dengan pencerahan yang betul.
#4 – Banyakkan membaca dan mengkaji.
Baginda SAW sentiasa memperingkati umat islam agar jangan memetik nama Baginda dalam hadis dan perkara yang palsu kerana orang yang berdusta atas nama Baginda, tempatnya ialah di neraka. Na’udzubillah min dzalik.
Dari Al-Mughirah, Beliau mendengar Rasulullah SAW:
إِنَّ كَذِبًا عَلَىَّ لَيْسَ كَكَذِبٍ عَلَى أَحَدٍ ، مَنْ كَذَبَ عَلَىَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ
Maksud: “Sesungguhnya berdusta atas namaku tidaklah sama dengan berdusta pada selainku. Barangsiapa yang berdusta atas namaku secara sengaja, maka hendaklah dia menempati tempat duduknya di neraka.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 1291)
Kesimpulan
Semoga selepas ini kita akan lebih cakna menyebarkan sesuatu ilmu kepada orang ramai dan dapat mengawal lisan dari perkataan-perkataan yang tidak sopan.
Menyedari bahawa betapa perbuatan menyebarkan riwayat yang tidak sahih boleh mencemarkan kesucian ajaran islam yang dibawa oleh Baginda SAW.
Rujukan:
Semak Hadis
No comments: