Status Hadis – Tuntutlah Ilmu Sehingga Ke Negara China
Menuntut ilmu adalah perkara yang digalakkan untuk dilakukan, sama ada seseorang itu kaya, muda atau dari kalangan bangsawan – diri tetap perlu ‘diisi’ dengan ilmu.
Ia tidak akan terhenti sehingga kita sudah berjaya menggapai sijil atau berada di tahap yang tertinggi seperti PhD, namun perjalanannya akan berterusan sehingga ke akhir hayat.
Dengan ilmu, sesebuah bangsa itu akan menjadi bangsa yang bertamadun, dihormati dan disegani. Ilmu yang membantu membentuk diri dan ketamadunan hari ini.
Bahkan, terdapat banyak dalil dan nas yang menyuruh agar ilmu itu dituntut tanpa sempadan. Antara yang paling masyhur ialah;
اطلُبُوا العِلْمَ ولو بالصينِ
Maksud: “Tuntutlah ilmu sehingga ke negara Cina.”
Dibukukan oleh beberapa ulama bahawa ia adalah sebuah hadis sahih yang telah diriwayatkan oleh Anas bin Malik.
Namun, terdapat kekeliruan mengenai status hadis ini, iaitu jalur periwayatannya yang lemah dengan perawinya yang tidak kuat hafalan.
Antara ulama yang menukilkan hadis ini daif dan palsu ialah Imam al-Sakhawi, Imam al-Baihaqi, Imam al-Zurqani, Imam Ibn Hibban, Imam al-Syaukani dan Imam Ibn al-Jauzi.
Syeikh Ismail bin Muhammad Al-Ajlanawiy RA berkata – “Hadis ini mempunyai kesamaran dalam jalurnya. Ada perawi yang lemah hafalannya dan ada juga yang meriwayatkannya secara bersendirian.”
Namun, Al-Mizzi berkata – “Hadis ini mempunyai banyak jalur. Dan ada sebahagiannya yang boleh naik ke taraf hasan dan diterima.
Antara ulama yang mengatakan bahawa hadis ini hasan ialah Imam Al-Mizzi sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Al-‘Ajluni dalam Kasyf Al-Khafa’.
Mereka juga berpendapat bahawa kemuliaan hadis ini adalah untuk menggalakkan umat manusia menuntut ilmu walau jauh mana pun mereka terpaksa merantau.
Baginda SAW memberi perumpamaan Negara China kerana ia adalah negara yang paling jauh dengan Arab.
Kesimpulan
Namun, apabila melihat kepada perbahasan ulama, hadis ini merupakan hadis yang dhaif berdasarkan hujah-hujah yang dinyatakan di atas.
Ia melihat kepada periwayatan Aban bin Fairuz atau Abu Atikah yang mempunyai hafalan yang lemah.
Sumber:
Mufti Wilayah
No comments: