Ads Top

Bangun Kemudian Tidur Semula Tanpa Solat Subuh – Bolehkah Qada?

Waktu Subuh adalah waktu yang paling mencabar untuk menunaikan solat berbanding waktu-waktu yang lain. Apa tidaknya, itulah waktu kita masih sedap tidur dan masih diulit mimpi dalam selimut. Itu belum ditambah jika cuaca dingin dan air paip yang sejuk.

Kita sudah sedia maklum bahawa solat Subuh masih perlu dilakukan sekalipun terlajak tidur sehingga habis waktunya. Dalam keadaan itu, seseorang sebaiknya terus menunaikan solat Subuh dan tidak melewat-lewatkannya. Imam Nawawi berkata bahawa, sunat menyegerakan qada jika meninggalkannya disebabkan uzur seperti tertidur atau terlupa.

Bagaimana pula jika sudah terlewat bangun, kemudian perlu segera ke kelas atau sudah lewat ke tempat kerja – adakah perlu terus mendirikan solat?

Dalam hal ini, ada dua keadaan yang dibenarkan iaitu qada dengan segera sebaik sahaja bangun atau boleh juga diqada pada waktu yang lain. Seseorang itu boleh memilih untuk menggantikan solat Subuh tersebut pada waktu lain kerana ada keperluan yang mendesak.

Bagaimana jika sudah bangun, namun hanya menutup ‘alarm’ dan tidur semula?

Bagi kes di atas, seseorang tersebut dikira cuai kerana sudah bangun, namun tidur semula. Oleh itu, dia wajib menunaikan solat Subuh segera apabila bangun nanti.

Seterusnya bagaimana pula dengan niat solat Subuh yang ingin ditunaikan. Adakah perlu niat qada atau niat solat seperti biasa?

Dalam hal ini, kita boleh memilih mana-mana cara, sama ada untuk menyebut niat solat yang biasa atau niat solat qada.

Contoh niat yang boleh dibaca:

1. Niat Solat Subuh Seperti Biasa

اُصَلّى فَرْضَ الصُّبْحِ رَكْعَتَيْنِ اَدَاءً ِللهِ تَعَالَى

(Usolli fardho subhi rok’ataini ada’an lillahi taala)
“Sahaja aku sembahyang fardhu subuh dua rakaat, tunai kerana Allah Taala.”

Boleh niat seperti biasa jika segera ingin menunaikan solat Subuh sebaik sahaja bangun daripada tidur.

2. Niat Solat Subuh Secara Qada

اُصَلّى فَرْضَ الصُّبْحِ رَكْعَتَيْنِ قضاءً ِللهِ تَعَالَى

(Usolli fardho subhi rok’ataini qada’an lillahi taala)
“Sahaja aku sembahyang fardhu subuh dua rakaat qada kerana Allah Taala.”

Manakala niat ini boleh dibaca apabila solat ganti Subuh dilakukan pada waktu lain.

Prihatinlah dalam menjaga solat. Jika sudah diketahui bahawa anda akan tidur lambat dan sukar untuk bangun, usahakan untuk menetapkan penggera jam pada telefon pintar dalam mod yang lebih kerap dan tetapan bunyi yang kuat. Boleh juga berpesan kepada teman serumah atau ahli keluarga untuk mengejutkan daripada tidur. Semoga usaha ini lebih dekat dengan keberkatan.

Rujukan:
Penerangan oleh Ustaz Amir Farhan di laman Twitter




No comments:

Powered by Blogger.