Ads Top

Orang Yang Bersedekah Akan Dinaungi Doa Malaikat

Sedekah merupakan sebuah pemberian kepada orang yang memerlukan dengan tujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah. Ia adalah salah satu bukti untuk menginfakkan harta ke jalan Allah.

Ia adalah perkara yang paling mudah untuk dilakukan. Dalam bersedekah, kita dianjurkan untuk memberi perkara yang disukai, bukan perkara yang mengundang kepada maksiat dan ikhlas dengan nilainya.

Sedekah bukan untuk menunjuk-nunjuk sebaliknya untuk memberi kebahagiaan kepada penerima dan yakin bahawa itulah rezekinya.

Sebab itu, kita sering dengar – “Dalam rezeki kita, pasti ada rezeki orang lain.”

Dan rezeki itulah yang akan menjadi saham untuk kita di akhirat kelak. Pemikiran yang salah ialah dengan memberi, harta kita akan semakin berkurang. Disebabkan itu, ramai dalam kalangan kita yang takut memberi.

Sedangkan, sedekah itu sendiri tidak akan mengurangkan harta. Kenapa boleh jadi sedemikian? Hal ini kerana, kita memberi mengikut kemampuan diri sendiri. Tidak perlu nilai yang besar atau barang berjenama yang mahal, cukuplah dengan mampu dan tidak membebankan diri sendiri.

Antara sebab lain ialah, anda bukan sahaja didoakan penduduk bumi disebabkan kebaikan tersebut, tetapi juga didoakan malaikat sendiri.

Dari Abu Hurairah RA, Baginda SAW bersabda:

مَا مِنْ يَوْمٍ يُصْبِحُ الْعِبَادُ فِيهِ إِلاَّ مَلَكَانِ يَنْزِلاَنِ فَيَقُولُ أَحَدُهُمَا اللَّهُمَّ أَعْطِ مُنْفِقًا خَلَفًا ، وَيَقُولُ الآخَرُ اللَّهُمَّ أَعْطِ مُمْسِكًا تَلَفًا

Maksud: “Ketika hamba berada pada setiap pagi, ada dua malaikat yang turun dan berdoa: “Ya Allah, berikanlah ganti pada yang gemar berinfak (rajin memberi nafkah pada keluarga).” Malaikat yang lain turun berdoa: “Ya Allah, berikanlah kemuflisan buat mereka yang enggan bersedekah.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 1442)

Ibnu Bathol berkata – “Doa malaikat itu adalah doa yang mudah untuk dikabulkan. Disebabkan itu, orang yang memberi sedekah dan mencukupkan nafkah buat ahli keluarga dan saudaranya akan sentiasa dicukupkan rezeki buatnya.”

Kadang-kadang kita risau jika memberi itu boleh mengurangkan rezeki dan harta. Bimbang jika akhir bulan, kita akan mula makan maggi.

Perkara ini perlu dibuang jauh-jauh. Jika kita yakin dan ikhlas dengan aturan Allah, InsyaAllah gaji yang sedikit itu akan dirasakan banyak kerana keberkatan yang Allah limpahkan.

Dalam masa yang sama, anda juga akan sentiasa dinaungi doa manusia dan malaikat. Mudah-mudahan, amalan sedekah itu akan menjadi salah satu saham akhirat dan diberkati amalnya.

Wallahu a’alam.

Rujukan:
Rumaysho.com




No comments:

Powered by Blogger.