Orang Yang Bergaduh, Amal Mereka Ditunda Sehingga Berdamai
Amat mudah untuk kita terperangkap dalam pergaduhan pada masa sekarang. Semudah meniggalkan komen yang tidak matang di media sosial yang akhirnya mengundang salah faham dan akhirnya menarik kita ke dalam perdebatan yang tidak berkesudahan.
Kata-mengata bermula. Pada awalnya kecil, lama-kelamaan menjadi besar apabila orang lain yang langsung tidak kita kenali melihat perbualan serta komen mula masuk ‘gelanggang perdebatan’. Keadaan akan jadi lebih teruk jika tidak ada pihak yang mahu mengalah.
Kali ini, bukan perihal siapa benar dan siapa salah yang ingin dibincangkan. Bukan juga tentang patut atau tidak menegakkan pendapat yang dirasakan benar, tetapi berkenaan kesan pergaduhan serta amaran yang disebutkan dalam hadis.
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : تُفْتَحُ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ يَوْمَ الْإِثْنَيْنِ وَيَوْمَ الْخَمِيسِ فَيُغْفَرُ لِكُلِّ عَبْدٍ لَا يُشْرِكُ بِاللهِ شَيْئً إِلَّا رَجُلًا كَانَتْ بَيْنَهُ وَبَيْنَ أَخِيهِ شَحْنَاءُ فَيُقَالُ: أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا
Daripada Abu Hurairah RA, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: “Pintu-pintu syurga dibuka setiap hari Isnin dan Khamis. Lalu diampuni dosa seluruh hamba yang tidak berbuat syirik (menyekutukan) kepada Allah dengan sesuatu apapun. Kecuali orang yang sedang ada permusuhan dengan saudaranya. Dikatakan: Tunda amal dua orang ini, sampai keduanya berdamai… tunda amal dua orang ini, sampai keduanya berdamai… tunda amal dua orang ini, sampai keduanya berdamai…” (HR. Imam Malik dalam Al-Muwatha’, 5/1334, Sahih Muslim, no. 2565 – Status Hadis Sahih)
Sesungguhnya amalan anak adam akan diangkat kepada Allah pada setiap hari Isnin dan Khamis. Walau bagaimanapun, melalui hadis di atas, dikhabarkan sebanyak tiga kali bahawa amalan orang yang bergaduh akan ditunda dan tidak akan diangkat kepada Allah sehinggalah mereka berdamai.
Dalam hadis lain, disebutkan bahawa tidak halal bagi seseorang Muslim itu apabila tidak menegur saudaranya melebihi tiga hari. Ruginya jika kita mensia-siakan raung masa yang telah Allah sediakan untuk meraih keampunan dan kebaikan daripadaNya.
Jika Allah sudah cukup suka kepada orang yang menyambung silaturahim serta berbuat baik kepada orang lain, bayangkan betapa Allah suka jika kita menjadi orang yang terlebih dahulu mengalah dan menamatkan permusuhan.
No comments: