Mengapa Dosa Mengumpat Diumpamakan Dengan Makan Daging Saudara Sendiri
Mengumpat ialah perkara yang paling bahaya. Sekali kita sudah bermula, pasti sukar untuk berhenti. Kadang-kadang kita boleh melompat dari satu topik ke satu topik yang seterusnya sehingga kita tidak sedar bahawa dosanya sudah bercambah.
Itulah bahaya dosa. Pada awalnya kita ‘berniat’ untuk menceritakan ketidakpuasan hati terhadap seseorang sahaja, sehingga ia boleh meleret kepada mengumpat.
Disebabkan itu setiap dari kita perlu bertanggungjawab untuk menghindari diri daripada terjebak ke kancah dosa ini.
Bimbang, jika ia pula boleh membawa kepada tabiat. Sedangkan Allah sudah memberi amaran bahawa jijiknya perbuatan ini adalah diibaratkan seperti memakan daging manusia.
Hal ini ada dirakamkan oleh Allah dalam surah Al-Hujurat, iaitu:
وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَاتَّقُوا اللَّـهَ ۚ إِنَّ اللَّـهَ تَوَّابٌ رَّحِيمٌ
Mafhum: “Dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima Taubat lagi Maha Mengasihani.” (Surah Al-Hujurat, 49:12)
Namun, mungkin kita tertanya, mengapa kotornya dosa tersebut diibaratkan seperti memakan daging manusia dan bukan dengan perumpamaan perkara jijik yang lain?
Dalam hal ini, perlu diingat bahawa ia adalah perumpamaan yang Allah bawakan kepada manusia bahawa haramnya perbuatan tersebut. Makan daging manusia ialah haram hukumnya. Bahkan, kotornya ia kerana kita memakan daging saudara kita sendiri.
Berbeza dengan memakan daging haiwan. Ada yang halal dimakan. Namun, daging manusia semuanya tidak boleh dimakan.
Kita perlu menjaga kehormatan sesama manusia. Air muka dan harga diri merupakan perkara utama yang perlu diambil perhatian.
Allah juga menyebut bahawa orang yang diumpat itu sebagai mayat. Ini bermaksud bahawa mereka sudah tidak berdaya untuk menyelamatkan diri sendiri. Bahkan, mereka tidak tahu pun bahawa jasad mereka sedang dijamah.
Samalah perihalnya dengan manusia yang diumpat. Mereka tidak berdaya untuk membela dirinya. Kadang-kadang ‘pengaruh’ orang yang mengumpat itu lebih besar daripada kebenaran yang tersingkap.
Disebabkan itu, elakkan diri daripada mengumpat. Sentiasa letakkan dalam diri bahawa ia adalah perbuatan yang kotor dan jijik serta perlu dielakkan.
Jika berdosa dengan Allah, anda boleh meminta ampun kepadanya. Namun, jika berdosa dengan manusia, bagaimana cara untuk menebus semula dosa tersebut?
Syeikh Abdurrahman bin Nashir As-Sa’di berkata – “Ayat di atas (surah Al-Hujurat) menerangkan sebuah ancaman yang keras dari perbuatan mengumpat dan bahawasanya ia termasuk dalam dosa bersar. Kerana Allah menyamakannya dengan makan mayat.” (Tafsir As-Sa’di, hal 751)
Wallahu a’alam.
Baca juga:
Cara Minta Maaf Kepada Orang Yang Pernah Diumpat
No comments: