Hukum Rambut Wanita Yang Telah Dipotong – Adakah Masih Aurat
Hukum perempuan memotong rambut adalah harus. Ia tidak menjadi kesalahan dan dosa selagi mana potongan tersebut tidak menyerupai lelaki.
Dalam masa yang sama, jika tujuan potongan tersebut adalah untuk mengikuti kaum atau agama lain, maka ia juga adalah tidak dibenarkan.
Adapun, berkenaan dengan rambut yang telah dipotong, timbul persoalan adakah ia masih lagi menjadi aurat wanita yang haram dilihat atau tidak?
Dalam hal ini, terdapat beberapa khilaf daripada jumhur ulama. Antara pandangan yang disebutkan ialah:
#1 – Rambut Yang Terpisah Masih Lagi Aurat
Hal ini ada disebutkan melalui sebahagian mazhab Syafi’e yang berkata bahawa ia masih aurat. Jadi, potongan tersebut perlulah dihindari daripada mata-mata ajnabi.
Imam Abu Bakar Al-Dimyathi RA berkata – “Setiap apa yang haram untuk dilihat daripada orang lelaki atau orang perempuan semasa berada pada tubuhnya, ia juga haram dilihat apabila sudah terpisah daripada badannya. Ia seperti rambut perempuan dan juga bulu kemaluan lelaki. Maka, wajib ke atas individu tersebut untuk menyembunyikannya.” (L’anah Al-Thalibin, Al-Dimyathi, 3/303)
#2 – Rambut Tersebut Bukan Aurat
Pendapat daripada mazhab Hanbali menyebut bahawa ia adalah tidak haram dilihat kerana ia bukan lagi aurat. Apabila anggota badan yang terpisah daripada badan itu, maka hukumnya adalah sudah tidak sama dengan yang asal.
Syeikh Abdul Qadir bin Umar Al-Syaibani RA berkata – “Adapun rambut yang terpisah daripada wanita ajnabi, maka dibolehkan untuk seorang lelaki itu menyentuhnya serta memandang ke arahnya. Sekalipun ia merupakan bahagian aurat. Ini kerana telah hilang keharamannya disebabkan terpisahnya dari jasad.” (Nail Al-Maarib, Abdul Qadir Al-Syaibani, 2/138)
Pendapat Mufti Wilayah
Apabila melihat kepada kedua-dua pendapat jumhur ulama tersebut, pihak Mufti Wilayah telah menggariskan panduan berkenaan cara untuk menguruskan rambut yang telah dipotong.
Antaranya ialah, rambut tersebut perlu terus disapu dan dikemaskan agar tidak berselerak. Ia juga boleh diuruskan dengan cara menanam potongan rambut itu.
Pihak Mufti Wilayah berkata bahawa ia tidak termasuk dalam aurat seseorang wanita itu lagi dan cenderung dengan pendapat daripada mazhab Hanbali.
Hal ini adalah bukan sahaja disebabkan oleh terpisahnya rambut itu daripada tubuh badan wanita, namun jika dilihat situasi – sebagai contoh ia dipotong di kedai gunting rambut, maka rambut tersebut sudah tidak dapat dibezakan lagi, sama ada ia adalah rambut wanita atau kanak-kanak.
Jika rambut dipotong dengan sendiri di rumah – maka wanita tersebut haram memotongnya di tempat yang boleh dilihat. Rambut tersebut juga perlu segera diurus dan dibersihkan.
Wallahu a’alam.
Sumber:
Mufti Wilayah
No comments: