Ads Top

Di Mana Perlu Letakkan Tangan Semasa Berdiri Dalam Solat

Meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri adalah perbuatan yang sunnah ketika qiam (berdiri) dalam solat. Menurut Ibnu Hajar, para ulama berpendapat bahawa perbuatan meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri menunjukkan sifat orang yang merendah diri dan lebih mendekatkan kepada kekhusyukan.

Cara meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri ada beberapa iaitu:

1. Meletakkan tangan kanan pada belakang telapak tangan kiri.

2. Meletakkan tangan kanan atas pergelangan tangan kiri.

3. Meletakkan tangan kanan atas lengan kiri.

4. Meletakkan tangan kanan atas tangan kiri sambil ibu jari dan jari kelingking menggenggam pergelangan tangan kiri, manakala tiga jari lain diluruskan.

Selain itu, jika anda biasa bersolat dengan umat Islam yang berlainan bangsa dan daripada negara-negara lain, anda pasti pernah melihat ada yang meletakkan tangan di atas dada. Hal ini berbeza dengan kebiasaan perbuatan umat Islam di Malaysia yang meletakkan tangan pada paras pusat ketika qiam.

Sebenarnya majoriti ulama berpendapat bahawa tidak ada tempat tertentu untuk memeluk tangan ketika solat. Sandaran dalilnya juga ada yang lemah dan ada yang boleh diguna pakai.

Contohnya, dalam hadis dari Ghazwan bin Jarir Adh-Dhabi, dari bapanya, ia berkata,

رَأَيْتُ عَلِيًّا – رضى الله عنه – يُمْسِكُ شِمَالَهُ بِيَمِينِهِ عَلَى الرُّسْغِ فَوْقَ السُّرَّةِ

“Aku pernah melihat ‘Ali r.anhu memegang tangan kirinya dengan tangan kanannya pada pergelangan tangan lalu diletakkan di atas pusat.” (HR. Abu Daud, no. 757 – Al-Hafizh Abu Thahir mengatakan bahawa hadis ini hasan. Walau bagaimanapun Syaikh Al-Albani mendhaifkan hadits ini dalam Irwa’ Al-Ghalil)

Cara meletakkan tangan di atas pusat (di bawah bahagaian dada) dipegang oleh Mazhab Syafie dan juga Maliki. Manakala ada pula riwayat lain yang menyebutkan posisi tangan di bawah pusat dan juga di atas dada.

Bagi yang memilih untuk meletakkan tangan di atas dada berpendapat kerana hikmahnya adalah hati merupakan tempat niat dan menjadi kebiasaan bahawa seseorang yang ingin menjaga sesuatu maka dia akan menempatkan tangannya di atas sesuatu yang dijaga. (Petikan dalam Kitab Fathul Bari oleh Ibnu Hajar Al-Asqalani)

Justeru boleh sahaja meletakkan tangan di atas pusat, di perut atau di dada. Yang penting tangan kanan mestilah diletakkan atas tangan kiri mengikut panduan yang telah ditetapkan di atas.

Rujukan:
Hafizfirdaus.comRumaysho.com




No comments:

Powered by Blogger.