COVID-19: Amerika Syarikat Lapor Lebih 36,000 Kes Dalam Sehari, Pakar Dakwa Peningkatan Belum Capai Kemuncak
Sebanyak lebih 36,000 kes COVID-19 dilaporkan di Amerika Syarikat (AS) semalam, namun pakar mendakwa peningkatan itu masih belum mencapai kemuncak.
Angka direkodkan semalam (24 Jun) dilaporkan mengatasi rekod kes baru pada 25 April lalu iaitu 34,203 kes dalam tempoh sehari.
Menurut The Washington Post, Texas, Florida dan California merekodkan jumlah tertinggi dengan masing-masing mencatatkan lebih 5,000 kes baru.
Sementara itu di Arizona, unit rawatan rapi dilaporkan penuh dalam masa yang singkat berikutan peningkatan kes yang mendadak.
Pun begitu, Dr. Mike Ryan, pengarah eksekutif Pertubuhan Kesihatan Sedunia untuk program kecemasan kesihatan berkata peningkatan kes COVID-19 di Amerika pada Rabu (24 Jun) belum mencapai kemuncak.
“Kita telah melihat kesinambungan trend yang berterusan dan membimbangkan dengan banyak negara mengalami peningkatan 25 peratus hingga 50 peratus sejak minggu lalu,” katanya merujuk kepada kes di negara Amerika Tengah dan Selatan.
Jelasnya, beberapa negara masih mengalami penularan berterusan dalam kalangan masyarakat.
“Malangnya, pandemik ini belum mencapai kemuncak di banyak negara di Amerika. Ia belum mencapai tahap penularan yang rendah di mana kita boleh mencapai jalan keluar yang berkesinambungan dari langkah-langkah kesihatan awam dan sosial,” katanya semalam.
Ujarnya, negara-negara yang terlibat mungkin akan menyaksikan jumlah kes dan kematian yang berlanjutan dalam beberapa minggu akan datang.
Mustahil untuk meramalkan angka, namun pada saat ini, wabak masih serius di negara-negara tersebut, katanya.
“Saya tak rasa ada orang ingin kembali kepada perintah berkurung (melibatkan) seluruh masyarakat dan populasi.
“Tetapi satu-satunya cara, dalam beberapa keadaan, untuk mengelakkannya sekarang adalah dengan pelaburan agresif semampu kita untuk mengesan kes, mengesahkan kes, mengkuarantin kontak rapat dan memastikan komuniti kita tetap aktif dan bersedia, mampu tanpa paksaan, untuk menyokong pesanan dan arahan jelas pemerintah dalam persekitaran yang amanah,” katanya.
Biarpun kes sedang meningkat, laporan media tempatan mendakwa kerajaan Amerika merancang untuk berhenti menyediakan bantuan persekutuan di tapak ujian di beberapa negeri paling teruk terjejas termasuk Texas.
Sejak pandemik COVD-19 bermula, AS mencatatkan lebih 2.3 juta kes dengan sekurang-kurangnya 120,000 kematian.
Angka kes koronavirus kini telah melebihi 9 juta kes di seluruh dunia. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meramalkan peningkatan kepada 10 juta kes pada minggu hadapan.
Sumber: The Washington Post, CNN
The post COVID-19: Amerika Syarikat Lapor Lebih 36,000 Kes Dalam Sehari, Pakar Dakwa Peningkatan Belum Capai Kemuncak appeared first on Siakap Keli.
No comments: