Ads Top

Bolehkah ‘Tipu Sunat’ Untuk Mendamaikan Orang Yang Bergaduh

Manusia adalah makhluk sosial yang memerlukan interaksi sesama mereka. Kita perlu bercakap, bergurau, berkongsi, berbincang dan menyatakan pandangan. Jika tidak, bosanlah kehidupan, dan tidak ada keceriaan. Namun, perhubungan kita sesama manusia jika tak diurus dengan baik akan mengakibatkan pergaduhan dan mewujudkan sengketa.

Jika berlaku pergaduhan antara orang-orang di sekeliling anda contohnya dalam kalangan ahli keluarga atau rakan-rakan terdekat – apakah yang boleh dilakukan untuk mendamaikan semula antara mereka? Bolehkah menipu dan adakah perbuatan ini dibenarkan dalam agama?

Mendamaikan Pihak Yang Berbalah Perbuatan Yang Mulia

Daripada Abu Darda RA ia berkata, “Rasulullah SAW bersabda: “Mahukah jika aku khabarkan kepada kalian suatu yang lebih utama dari darjat puasa, solat dan sedekah?” Para sahabat berkata, “Tentu ya Rasulullah.” Baginda bersabda: “Mendamaikan orang yang sedang berselisih. Dan rosaknya orang yang berselisih adalah pencukur (mencukur amal kebaikan yang telah dikerjakan).” (Sunan Abu Daud, no.4273 – Status Hadis Sahih)

Niat untuk mendamaikan hubungan antara orang yang berbalah adalah niat yang murni. Hal ini kerana, anda cuba menyelamatkan keadaan daripada menjadi lebih teruk. Mereka yang suka berbalah juga perlu menyedari bahawa kesan perbalahan tersebut tidak menimpa orang yang terlibat sahaja malah orang di sekeliling yang langsung tidak ada sangkut-paut.

Bayangkan jika si A bergaduh dengan si B di pejabat, kemudian apabila makan tengah hari bersama-sama, si A dan B langsung tidak bertegur sapa di hadapan semua orang. Keadaan tersebut pasti menimbulkan perasaan ‘awkward’ atau janggal kepada orang lain. Jika orang lain baik dengan si A, pasti berlaku pula ‘bias’ kerana dianggap menyebelahkan si A. Begitu juga sebaliknya.

Lihat, bagaimana ia mampu mengheret orang lain ke dalam sangka yang boleh jadi benar, boleh jadi tidak. Siapa yang ingin berada dalam ‘vibes’ yang negatif begitu?

Maka, penting untuk seseorang yang boleh menjadi pendamai antara kedua-duanya memegang pendirian yang objektif, berfikiran luas serta tidak berat sebelah. Inilah fungsi seorang pendamai. Berbalik kepada soalan pada awalnya, bolehkah seseorang itu berbohong untuk mendamaikan perbalahan antara dua pihak?

Bolehkah Berbohong Untuk Mendamaikan Dua Pihak

Sebenarnya Islam membenarkan seseorang itu berbohong dalam tiga perkara iaitu mendamaikan antara manusia, ketika dalam peperangan (untuk helah melawan musuh) serta dalam perhubungan suami isteri (yang boleh mengharmonikan hubungan antara keduanya) contohnya mengatakan masakan isteri sedap kerana mengambil hati.

Diriwayatkan daripada Ummu Kultsum binti ‘Uqbah r.anha, beliau berkata,

مَا سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُرَخِّصُ فِي شَيْءٍ مِنَ الْكَذِبِ إِلَّا فِي ثَلَاثٍ، كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ

“Tidaklah aku mendengar Rasulullah SAW memberikan keringanan sedikit pun berkaitan dengan perkataan dusta kecuali dalam tiga perkara. Rasulullah SAW mengatakan,

لَا أَعُدُّهُ كَاذِبًا، الرَّجُلُ يُصْلِحُ بَيْنَ النَّاسِ، يَقُولُ: الْقَوْلَ وَلَا يُرِيدُ بِهِ إِلَّا الْإِصْلَاحَ، وَالرَّجُلُ يَقُولُ: فِي الْحَرْبِ، وَالرَّجُلُ يُحَدِّثُ امْرَأَتَهُ، وَالْمَرْأَةُ تُحَدِّثُ زَوْجَهَا

“Tidaklah termasuk bohong: (1) Jika seseorang (berbohong) untuk mendamaikan di antara manusia, dia mengatakan suatu perkataan yang tidaklah dia maksudkan kecuali hanya untuk mengadakan perdamaian (perbaikan); (2) Seseorang yang berkata (bohong) ketika dalam peperangan; dan (3) Seorang suami yang berkata kepada istri dan istri yang berkata kepada suami.” (HR. Abu Dawud, no. 4921, dinilai sahih oleh Syaikh Al-Albani)

Contohnya, si pendamai mengatakan kepada pihak A, bahawa pihak B ingin berbincang, walaupun hakikatnya perbincangan tersebut dicadangkan daripada si pendamai sendiri. Maka perkara ini dibolehkan kerana mampu ‘menyejukkan’ hati pihak A, seterusnya mampu mewujudkan ruang untuk kedua-dua pihak berbincang.

Contoh lain, si pendamai boleh menceritakan tentang niat baik pihak A kepada pihak B, begitu juga sebaliknya, walaupun mungkin perkara tersebut tidak benar-benar tepat. Ia boleh menenangkan kembali keadaan bagi memudahkan perbincangan berlaku.

Demikianlah tipu yang dibenarkan dalam Islam. Tidak dinafikan perselisihan akan kerap terjadi kerana sebagai manusia, setiap daripada kita berfikir dengan cara yang berbeza-beza dan bertindak pula dengan cara yang berbeza-beza. Tetapi yang lebih penting, bagaimana kita menguruskan perbezaan serta perselisihan supaya tidak membawa kepada keretakan perhubungan silaturahim yang jelas tidak disukai oleh Allah.

“Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah, atau berbuat kebaikan, atau mendamaikan di antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredaan Allah, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar.” (Surah An-Nisa 4:114)




No comments:

Powered by Blogger.