Mengapa Khatib Memegang Tongkat Ketika Membaca Khutbah
Seperti yang kita ketahui, hukum menunaikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri adalah sunat. Maka, jika tidak menunaikannya juga adalah tidak mengapa jika wujud kekangan yang menghalang seperti kerja dan sebagainya.
Namun, ia adalah sunat muakkad yang bermaksud sunat yang dituntut dilakukan. Penunaiannya adalah setahun sekali, iaitu pada bulan Syawal yang bertujuan untuk meraikan kemenangan umat Islam dan sekembalinya kepada fitrah.
Adapun, penyampaian khutbah selepas solat sunat ini adalah sunat. Ia tidak sama dengan khutbah semasa Solat Jumaat yang hukumnya adalah wajib dan syarat sah kepada solat tersebut.
Ini bermaksud, solat sunat Aidilfitri tanpa khutbah adalah sah dan diterima di sisi Allah. Baru-baru ini juga kita melihat pelbagai ragam kaum Adam yang menyampaikan khutbah, terutamanya buat kali pertama.
Ada yang berdebar-debar sehingga tersasul dan ada juga yang menggunakan pelbagai jenis alatan sebagai tongkat dan mimbar.
Ia adalah sebuah pengalaman bermakna yang tidak dapat dilupakan semua orang kerana ahli keluarga dapat berkumpul bersama dan diberikan peluang untuk mengimami solat, mungkin buat kali pertama.
Namun, apabila melihat akan reaksi segelintir orang akan penggunaan alatan yang pelik dan bukan kebiasaan (bukan tongkat) untuk dijadikan khutbah, ia telah mengundang beberapa salah faham antara semua orang.
Hukum Khatib Pegang Tongkat
Pertama, perlu dijelaskan bahawa hukum seseorang khatib memegang tongkat semasa penyampaian khutbah adalah sunat.
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ ـ صلى الله عليه وسلم ـ كَانَ إِذَا خَطَبَ فِي الْحَرْبِ خَطَبَ عَلَى قَوْسٍ وَإِذَا خَطَبَ فِي الْجُمُعَةِ خَطَبَ عَلَى عَصًا
Maksud: “Sesungguhnya Rasulullah SAW apabila Baginda berkhutbah di medan perang, Baginda akan menyampaikan khutbah dengan bersandar pada busur. Dan apabila Baginda berkhutbah pada hari Jumaat, Baginda akan menyampaikannya dengan bersandar kepada tongkat.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah, no. 1107)
Hal ini dipersetujui oleh jumhur ulama seperti Imam Nawawi, al-Qadhi Husain dan Imam al-Baghawi serta daripada pendapat mazhab Syafi’e berdasarkan beberapa dalil seperti di atas bahawa hukum memegang tongkat adalah sunat.
Berkenaan dengan tangan mana yang digunakan untuk memegang tongkat, ia adalah tidak disebutkan. Namun, apabila tiada alatan yang seumpamanya untuk dijadikan tongkat ketika khutbah, maka ia adalah tidak mengapa.
Khatib perlu meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri atau melepaskannya (meletakkan dalam keadaan tenang). Ia adalah untuk menyampaikan kekhusyukan dan terhindar daripada melakukan perkara yang sia-sia.
Tongkat Sebagai Bahan Lawak
Kita melihat apa yang tular pada Syawal kali ini dengan kepelbagaian tongkat yang digunakan. Namun, apabila ia disalah tafsir dan dijadikan sebagai bahan lawak, maka ia telah berubah kepada tujuan asal memegang tongkat itu sendiri.
Memegang tongkat adalah untuk mengambil pahala sunnah kerana Baginda SAW sentiasa memegang tongkat seperti anak panah atau pedang ketika menyampaikan khutbah.
Ia juga adalah untuk mengelakkan imam daripada menggoyang-goyangkan tangannya dan menghilangkan kekhusyukan. Tangan si Khatib pula tidaklah akan digerak-gerakkan seperti orang berpidato yang penuh dengan emosi. Ia lebih untuk mengikut hati agar khutbah yang disampaikan lebih tertib.
“Apabila muadzin telah selesai (azan), maka Khatib berdiri menghadap jemaah dengan wajahnya. Tidak boleh menoleh ke kanan dan ke kiri. Dan kedua tangannya memegang pedang yang ditegakkan atau tongkat pendek serta (tangan yang satunya memegang) mimbar. Supaya dia tidak mempermainkan kedua tangannya. (Kalau tidak begitu), atau dia menyatukan tangan yang satu dengan yang lain.” (Ihya’ “Ulumu al-Din, Juz 1, hal 180)
Boleh sahaja untuk menggantikan tongkat dengan alatan lain bagi mengambil pahala sunnah. Namun, perlu dipastikan bahawa ia bukanlah bahan yang mengikut kepada agama lain atau mempunyai simbol yang boleh merosakkan akidah.
Niat juga perlu dijaga kerana ia bersangkut-paut dengan ibadah dan akidah seseorang. Memegang tongkat yang berlainan bukan sekadar untuk menjadikan ia sebagai sebuah aktiviti yang tular, namun untuk mengambil pahala sunnah.
Walaupun Solat Sunat Hari Raya sudah selesai dilaksanakan, namun diharap agar kita semua dapat mengambil iktibar daripada apa yang berlaku dan memperoleh ilmu baru sebagai amalan dan rujukan pada masa yang akan datang.
Yang paling penting ialah niat yang kita tanamkan dalam diri adalah untuk beribadah kepadaNya dan mengambil ibadah sebagai sesuatu yang serius dan bukan sebagai bahan lawak.
Wallahu a’alam.
Rujukan:
Mufti Wilayah
No comments: