Ads Top

Apakah Maksud ‘Pada Sahur Ada Keberkatan’?

تَسَحَّرُوا فَإِنَّ فِي السُّحُورِ بَرَكَةً

“Bersahurlah kamu semua, sesungguhnya pada sahur itu terdapat keberkatan.” (Riwayat al-Bukhari, no.1923 dan Muslim, no.1095)

Demikian maksud hadis yang masyhur dan banyak berlegar pada bulan Ramadan. Sahur adalah amalan yang sangat dianjurkan dan sangat disukai. Malah sahur membezakan antara puasa seorang Muslim dan ahli kitab pada masa dahulu.

Namun apakah sebenarnya maksud keberkatan yang ada dalam hadis di atas?

Bagi menjelaskan hal ini kita perlu terlebih dahulu memahami perkataan sahur itu sendiri.

Menurut para pentafsir, ada dua pandangan dalam kalimah sahur iaitu Sahur (السَّحور) dengan baris atas (fathah) dan suhur (السُّحور) dengan baris depan (dhammah).

Dalam bahasa Arab, kalimah sahur bermakna makanan sahur serta minuman. Manakala suhur adalah perbuatan bersahur itu sendiri. Maknanya jadi sedikit berbeza apabila dialih bahasa ke dalam Bahasa Melayu kerana sahur dalam bahasa Melayu bermakna perbuatan bersahur.

Maka menurut Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani dan Imam Ibn al-Athir, perkataan yang lebih tepat sesuai dengan hadis di atas ialah suhur kerana barakah, ganjaran dan pahala adalah pada perbuatan dan bukan pada makanan.

Dalam hadis lain juga diterangkan bahawa kebaikan pada sahur itu termasuklah selawat daripada Allah dan malaikatNya kepada orang yang bersahur.

“Makan sahur adalah makan penuh berkah. Janganlah kalian meninggalkannya walau dengan seteguk air kerana Allah dan malaikatNya berselawat kepada orang yang makan sahur.”
[HR. Ahmad (3/44) – Syaikh Syu’aib Al Arnauth mengatakan bahawa hadis ini sahih lighoirihi]

Barakah adalah kebaikan daripada Allah dalam sesuatu perkara dan ia mendatangkan manfaat buat kehidupan di dunia dan akhirat. Justeru, selain mendapat keberkatan berupa doa daripada Allah dan para malaikat, sahur juga dapat menambah semangat serta kekuatan untuk seseorang itu berpuasa.




No comments:

Powered by Blogger.