Ads Top

Zahirkan Syukur Dengan Ucapan Terima Kasih

Sudahkah anda mengucapkan terima kasih? Mungkin kepada ibu anda yang setiap hari bangun pagi untuk menyediakan sarapan buat anaknya. Mungkin juga kepada rakan serumah anda yang sentiasa memastikan keadaan rumah anda kekal bersih dan kondusif. Atau mungkin juga kepada Perdana Menteri kita hari ini kerana telah mengeluarkan bermacam-macam inisiatif untuk membantu kelangsungan hidup anda.

Jangan pula dikata – “Alah, itu kan tugas mereka. Memang mereka kena buat.”

Salah konsepnya itu. Memang tugas mereka, namun tanpa mereka adakah anda akan mengecapi nikmat yang dikecapi hari ini?

Ada pula yang menambah – “Tapi itu semua datang daripada Allah. Jika Allah tidak mengizinkan, maka kita tidak akan merasa duit yang diberi kerajaan hari ini.”

Benar, semua rezeki datang daripada Allah bahkan setiap yang terjadi pada hari ini adalah aturan daripada Allah sendiri.

Namun, Allah telah menciptakan manusia dengan pelbagai fungsi dan kelebihan yang ada pada diri masing-masing. Disebabkan itu, manusia di muka bumi ini bertindak balas dengan sesuatu perkara yang terjadi di sekelilingnya dengan berbeza dan mengikut kudrat sendiri.

Ada yang mempu menyalurkan wang sebanyak beribu-ribu ringgit, ada juga yang mampu merawat berpuluh pesakit yang datang kepadanya dalam sehari, ada yang menjadi penyalur maklumat yang paling tepat dan pelbagai lagi ragam manusia.

Justeru, apabila anda dihulurkan bantuan sama ada dari segi tenaga mahupun wang ringgit, ucaplah terima kasih.

Ucapan terima kasih ini tidak mahal pun, namun kadang-kadang berat mulut manusia untuk mengungkapkan seolah-olah ada jongkong emas yang tersimpan dalam mulutnya.

اَ ÙŠَØ´ْÙƒُرُ اللَّÙ‡َ Ù…َÙ†ْ لاَ ÙŠَØ´ْÙƒُرُ النَّاسَ

Maksud: “Tidak dikatakan bersyukur pada Allah bagi sesiapa yang tidak tahu berterima kasih pada manusia.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 4811)

Islam merupakan agama yang mengajar umatnya untuk sentiasa berkasih sayang dan menghargai sesama manusia. Nilai ini bukan sahaja diterapkan dalam Islam, bahkan dalam semua agama dan pegangan.

Apabila orang berbuat baik kepadamu, maka balaslah ia juga dengan kebaikan.

Disebabkan itu, zahirkanlah nikmat melalui lisan, hati dan anggota badan anda. Apabila menerima sesuatu, ucaplah terima kasih. Balaslah pemberian itu dengan perkara-perkara baik seperti menggunakannya ke arah yang betul dan tidak membazir.

Didik diri untuk bersyukur dan ringankan lidah dengan ucapan terima kasih. Kadang-kadang orang yang menghulurkan bantuan tidak mengharapkan apa-apa balasan pun, namun cukuplah apabila dia mendengar ucapan terima kasih.

Dengan itu, segala penat lelah dan peluh keringatnya telah berbayar dan dirasakan berbaloi.

Dari Jabir RA, Rasulullah SAW bersabda:

Maksud: “Siapa yang diberi pemberian, maka hendaklah dia membalasnya dengan itu pula. Kalau tidak maka dengan memuji, sebab dengan memuji bererti telah bersyukur dan sesiapa yang menyembunyikan (kebaikan orang padanya) bererti dia telah kufur (nikmat).” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 4813)

Ucapan terima kasih merupakan sebuah nilai murni yang perlu terus diamalkan agar ia tidak hilang ditelan zaman.

Wallahu a’alam.




No comments:

Powered by Blogger.