Ads Top

Takut Virus VS Takut Allah – Ini Kata Saidina Umar Al-Khattab

Kehidupan kita ini penuh dengan peraturan, hukum dan undang-undang. Itulah yang akan membentuk diri kita untuk menjadi seorang yang berdisiplin dan penuh dengan adab.

Sama ada undang-undang itu digubal untuk jangka masa yang panjang mahupun hanya dalam masa yang sementara, ia mesti dipatuhi demi kemaslahatan ummah dan kebaikan diri sendiri.

Hari ini, kita melihat banyak peraturan dan arahan baru dalam menjadikan kita manusia yang bertanggungjawab dan saling menjaga antara satu sama lain dek wabak penyakit yang telah tular ke seluruh dunia sehingga menjadikan ia wabak yang digeruni dalam sejarah moden hari ini.

Di Malaysia, kita dapat lihat segala aktiviti berjemaah sama ada yang berbentuk keagamaan mahupun bukan keagamaan dihalang daripada diadakan termasuklah solat Jumaat.

Jika sebelum ini pihak Arab Saudi juga telah membatalkan kemasukan umrah sehingga ke satu masa yang ditetapkan, kini giliran Haji pula yang akan ditimbang tara sama ada untuk diteruskan atau sebaliknya.

Kematian yang semakin meningkat dari hari ke hari dan penemuan kes yang semakin merisaukan membuatkan semua pihak tidak senang duduk.

Dalam waktu inilah, setiap insan perlu memainkan peranan masing-masing untuk membantu membendung wabak pandemik COVID-19 ini kerana setiap dari kita adalah barisan pejuang hadapan.

Namun, ada juga segelintir daripada kita yang tidak sedar akan bahayanya wabak ini kepada kesihatan yang boleh meragut.

Mereka bahkan berkata – “Tidak perlu takut kepada virus ini kerana kita hanya perlu takut kepada Allah.”

Apabila wujudnya perspektif sedemikian, maka berduyun-duyunlah mereka melanggar aturan yang telah ditetapkan dan sanggup meredah virus ini demi melakukan aktiviti keagamaan di masjid dan surau-surau.

Benar, tidak disangkal lagi bahawa ketakutan kepada Allah perlu diletakkan pada tangga teratas. Dengan ketakutan itulah yang akan menjadikan anda lebih dekat kepadaNya.

Berbeza apabila anda takut kepada hantu. Semakin anda takut, semakin anda menjauh, bukan? Begitu juga dengan virus ini.

Dalam hal ini, istilahnya ialah bukan takut kepada virus, namun kita berikhtiar dan berusaha agar virus ini tidak merebak kepada kita dan orang sekeliling.

Bimbang jika nyawa diragut dek sikap mementingkan diri sendiri dan terlalu angkuh dengan pemahaman cetek kita terhadap definisi takut kepada virus dan Allah.

Kata Saidina Umar Tentang Takut Kepada Allah

Dalam beramal, kita memerlukan ilmu. Pemahaman dan pengetahuan yang jitu itulah yang akan menjadikan amalan kita tampak sempurna. Bukankah ada kata-kata yang menyebut:

“Ilmu tanpa amal umpama pohon tak berbuah.”

Syeikh Abdurrahman bin Qasim RA juga pernah mengatakan bahawa – “Amal adalah buah daripada ilmu. Ilmu itu ada dalam rangka mencapai sesuatu yang lainnya. Ilmu diibaratkan seperti sebuah pohon, sedangkan amalan adalah buahnya. Maka, setelah mengetahui ajaran agama Islam, seseorang harus menyertainya dengan amalan. Sebab orang yang berilmu akan tetapi tidak beramal dengannya lebih buruk keadaannya daripada orang bodoh.”

Jika dibidas akan kenyataan orang yang lari daripada virus kerana lebih takut kepadanya berbanding Allah, maka adakah Saidina Umar juga takut kepada virus?

Ingat lagi akan kisah permusafiran Saidina Umar ke Syam, namun beliau telah melupakan hasratnya dan pulang semula kerana pada waktu itu terjadi wabak penyakit berjangkit yang telah meragut ribuan nyawa.

Abu Ubaidah RA yang merupakan Gabenor Syam ketika terjadinya wabak di negeri Syam berkata kepada Umar selepas Umar membuat keputusan untuk membatalkan hasratnya ke Syam akibat wabak berjangkit yang melanda:

“Wahai Amirul Mukminin, mengapa anda lari dari takdir Allah?”

Lalu, Umar RA menjawab dengan penuh hikmah: “Mengapa bukan kamu yang bertanya, hai Abu ‘Ubaidah – Ya, kita lari dari qadar Allah kepada qadar Allah. Bagaimana pendapatmu sekiranya engkau mempunyai seekor unta lalu engkau turun ke lembah yang mempunyai dua sisi. Yang satu subur dan yang satu tandus. Bukankah jika engkau mengembalakannya di tempat yang subur, engkau mengembala dengan qadar Allah dan jika engkau mengembala di tempat yang tandus, engkau mengembala dengan qadar Allah?”(Hadis Riwayat Muslim, no. 2076)

Maka, inilah yang dikatakan definisi takut kepada Allah dengan menyelamatkan diri daripada terjadinya bahaya, iaitu dengan meletakkan ikhtiar yang tinggi dan bukannya berserah semata-mata kepada Allah sebelum berusaha.




No comments:

Powered by Blogger.