Ads Top

Penangguhan Solat Jumaat & Aktiviti Berjemaah Dilanjutkan Sehingga 31 Mei, Titah Sultan Selangor

Terkini, Sultan Selangor bersama dengan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Jabatan Mufti Negeri Selangor dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah mengadakan sebuah mesyuarat khas berkenaan wabak COVID-19 di Negeri Selangor.

Menurut kenyataan akhbar D.Y.M.M Sultan Selangor, tempoh penangguhan Solat Jumaat, solat secara berjemaah dan aktiviti-aktiviti ceramah serta kuliah di semua masjid, surau dan musolla di negeri tersebut akan dilanjutkan sehingga 31 Mei 2020.

Walau bagaimanapun, arahan baru akan dikeluarkan jika wabak ini kembali pulih dalam tempoh masa yang telah ditetapkan.

Berikutan itu, solat Jumaat perlu digantikan dengan solat Zuhur. Begitu juga dengan solat fardu serta solat Terawih pada Ramadan tahun ini yang perlu dilakukan di rumah masing-masing.

Tambahnya lagi, setiap daripada kita perlu meletakkan usaha yang serius dalam membendung wabak COVID-19 ini dengan duduk di rumah, menitikberatkan kebersihan diri dan menjaga kesihatan serta mengamalkan penjarakan sosial.

Selain itu, baginda juga menegaskan agar rakyat lebih bertanggungjawab dalam penyebaran berita-berita sama ada dalam bentuk tulisan mahupun video agar tidak menimbulkan kegelisahan dalam kalangan rakyat.

D.Y.M.M. Sultan Selangor juga menyeru agar semua rakyat boleh mematuhi arahan dan perintah yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan serta Kementerian Kesihatan Malaysia selain memperbanyakkan berdoa agar bumi ini kembali sembuh seperti sedia kala.




No comments:

Powered by Blogger.