Hukum Membatalkan Puasa Ganti & Sunat
Bulan Syaaban adalah bulan Rasulullah SAW gemar berpuasa. Dikatakan bahawa inilah bulan yang paling banyak baginda berpuasa selain Ramadan. Kebiasaannya, orang ramai juga mengambil peluang untuk berpuasa sunat atau menggantikan puasa wajib yang telah ditinggalkan.
Namun bagaimana pula jika ada perkara yang menghalang kita ketika sedang berpuasa dan memerlukan kita untuk membatalkan puasa dan berbuka? Apakah hukumnya yang sebenar?
1. Membatalkan Puasa Sunat
Hukumnya makruh membatalkan puasa sunat dengan sengaja. Walau bagaimanapun dia tidak wajib mengqada’ puasa sunat yang dibatalkan. (Lihat Fiqh Al-Manhaji, 2/118)
Walau bagaimanapun jika ada keperluan untuk membatalkan seperti meraikan tetamu dan makan bersama mereka atau memenuhi jemputan kenduri walimah, tidak mengapa.
2. Membatalkan Puasa Ganti
Manakala berdosa hukumnya jika seseorang membatalkan puasa ganti (puasa Ramadan) tanpa uzur yang disyariatkan seperti haid dan musafir. Ini kerana ia sama dengan puasa wajib yang ditunaikan pada bulan Ramadan.
Ketentuan ini disandarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Ummu hani’ RA:
(يَا رَسُولَ اللَّهِ لَقَدْ أَفْطَرْتُ وَكُنْتُ صَائِمَةً . فَقَالَ لَهَا ” أَكُنْتِ تَقْضِينَ شَيْئًا ” . قَالَتْ لاَ . قَالَ ” فَلاَ يَضُرُّكِ إِنْ كَانَ تَطَوُّعًا)
Maksudnya: “Wahai Rasullullah, sesungguhnya aku telah berbuka sedangkan aku berpuasa”. Maka Rasulullah SAW berkata kepadanya: “Adakah kamu sedang mengqada’kan sesuatu (puasa)”. Beliau berkata: “Tidak”. Sabda Rasulullah SAW: “Maka tidak memudaratkan (memberi dosa) kepadamu sekiranya ia adalah puasa sunat” (Hadis Riwayat Abu Daud, no.2456)
Wallahua’lam.
Rujukan:
Mufti Wilayah Persekutuan
No comments: