Bolehkah Lelaki Menyemak Bacaan Al-Quran Wanita
Suara wanita aurat atau tidak? Ia telah menjadi persoalan dan tanda tanya dalam kalangan wanita mahupun lelaki.
Sebenarnya, suara wanita bukanlah aurat secara mutlak. Mereka masih lagi boleh bercakap, berdebat dan memperdengarkan suaranya ketika bersama dengan ajnabi atau yang bukan mahram.
Menurut jumhur ulama lagi, suara orang perempuan tidak dikira sebagai aurat kerana para sahabat mendengar suara isteri-isteri Nabi Muhammad SAW untuk mempelajari hukum-hakam agama.
Walau bagaimanapun, yang menjadi larangan ialah ketika kaum wanita melunakkan suara mereka dalam bentuk irama, lagu dan juga bercakap dengan nada berbaur manja dan melenggok-lenggok.
Mafhum: “Wahai isteri-isteri nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertaqwa. Oleh itu, janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan).” (Surah Al-Ahzab, 33:32)
Al-Alusi berkata – “Yang tersebut di dalam kitab-kitab feqah Syafi’e, di mana aku sendiri cenderung kepada pendapat ini (suara bukan aurat) kecuali kalau dikhuatiri timbulnya fitnah.” (Lihat Ruh al-Ma’ani, 18/146)
Justeru, adakah dibolehkan jika wanita itu memperdengarkan bacaan al-Qurannya kepada lelaki dengan tujuan untuk memperbaiki bacaan dan juga menuntut ilmu agama?
Menurut perbahasan yang telah diberikan oleh Mufti Wilayah, jika tiada kemungkinan berlakunya fitnah, maka dibenarkan untuk lelaki menyemak bacaan Al-Quran wanita.
Syeikh al-Ramli berkata – “Para ulama bermazhab Syafi’e menyatakan kemakruhan mengangkat suara (bacaan al-Quran) di dalam solat kerana takut berlakunya fitnah.” (Nihayah al-Muhtaj Ila Syarh al-Minhaj, 3/365)
Justeru, dibolehkan untuk lelaki menyemak bacaan Al-Quran perempuan, namun perlu dijaga adab-adab lain seperti tidak berdua-duaan dan juga terpesong daripada tujuan asal.
Wallahu a’alam.
No comments: